| Universiti Putra Malaysia

Kuatkan hati terima skrol Diploma ‘Uda’

 
BINTULU, 1 November – Hanya sebak dirasai ibu bapa Allahyarham Mohamad Syahmi Asyraaf Muda atau dipanggi ‘Uda’ oleh Musa Sirat dan Suhaida Sumit apabila mereka menaiki pentas menerima skrol bagi pihak Uda yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 16 September lalu.
 
Ibu Allahyarham, Suhaida berkata ‘Uda’, graduan Diploma Kejuruteraan Pertanian, berkata hajat arwah untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi tidak tercapai tetapi arwah berjaya mengengam Diploma untuk diserahkan kepada keluarga tercinta pada Majlis Konvokesyen ke-46 Sidang 1 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) di Dewan Sri Kenyalang, UPMKB di sini.
 
“Sepanjang arwah menyambung pengajian beliau di UPMKB beliau sihat dan sangat gembira dan sebenarnya telah mendapat tawaran menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan hasrat arwah untuk terus menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD,” katanya.
 
Menceritakan detik Allahyarham Mohamad Syahmi Asyraaf disahkan menghidapi kanser limfoma, pada awalnya arwah menghidapi batuk berpanjangan dan telah mendapatkan rawatan di tiga klinik dan tiada perubahan walaupun telah mendapatkan rawatan.
 
 
“Saya kemudiannya membawa arwah ke hospital dan pihak hospital telah melakukan pemeriksaan CT scan dan mendapati kelenjar di leher sebelah kiri arwah bengkak dan memerlukan rawatan lanjut di hospital yang mempunyai kepakaran berkenaan,” katanya.
 
Suhaida berkata arwah anaknya kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 31 Ogos 2022 selama dua minggu untuk melakukan ujian serta rawatan susulan dan kemudiannya disahkan menghidapi kanser limfoma.
 
“Arwah sendiri tidak tahu beliau menghidapi penyakit itu dan pihak hospital juga telah memaklumkan kanser beliau telah merebak terlalu cepat pada badan anak saya namun arwah cekal,” katanya.
Kemudiannya pada 15 September 2022, Suhaida telah mendapat panggilan kecemasan dari pihak hospital mengatakan arwah mengalami pendarahan dan ketika itu baharu menjalankan rawatan kimoterapi selama dua hari.
 
“Itulah detik akhir ‘Uda’ di hospital dan titipkan pesanan kepadanya untuk terima ketentuan Allah swt dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah serta surah-surah lazim. Ketika itu saya tidak dapat menemani arwah di wad kerana beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
 
“Mata arwah tertutup air matanya mengalir dan saya berkata kepada arwah saya maafkan dia segala kesalahan dia, saya halakan makan minum dia saya halalkan susu yang dia minum walaupun sebutir zarah pun tetap saya halalkan segalanya,” katanya.
 
Sementara itu, pada Majlis Konvokesyen ke-46 Sidang 1 UPMKB, ketiga-tiga adik beradik arwah turut hadir menyaksikan penyerahan skrol secara Anumerta oleh Tuanku Canselor UPM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SXDcRAR~