| Universiti Putra Malaysia

Inspektor Sukarelawan Polis berjaya genggam ijazah

Oleh: Nurul Qamarina Azli
Pelajar Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan, FEM



SERDANG, 1 Disember – Aktif dalam badan beruniform semasa melanjutkan pengajian di UPM tidak menghalang Inspektor S/P Nazrul Rapail, 24, untuk bergraduat pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 pada hari ini.

Beliau mula menyertai Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) sejak tahun pertama pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu).

“Membesar dalam keluarga polis membuatkan cara hidup saya lebih berdisiplin,” katanya.

Anak kelahiran Sabah ini akui bahawa cabaran yang beliau hadapi adalah memberi tumpuan kepada pelajaran dan dalam pada masa yang sama turut bersungguh-sungguh melengkapkan kursus dan latihan SUKSIS.

Tambah beliau, menyertai badan beruniform tidak merugikan kerana ianya memberi banyak memberi manfaat kepada beliau serta masyarakat pada masa yang memerlukan.

“Ilmu yang saya ada boleh digunakan dalam waktu kecemasan kerana ia dapat membantu ramai orang,” katanya.

Beliau menggalakkan mahasiswa untuk menyertai badan beruniform di UPM kerana ianya dapat meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa.-UPM

WXETDA4~