| Universiti Putra Malaysia

Ibu pemandu bas sekolah, anak raih Master

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhammad Ezham Hussin



SERDANG, 1 Disember - Khanmani Anpuanandam, 28, menjadi kebanggaan ibunya Parimala Raman, 52 yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah apabila menjadi anak pertama sebagai Doktor veterinar dan meraih Master.

Khanmani yang menerima Master Veterinar Sains (Perubatan Haiwan Kesayangan) berkata kecekalan ibunya yang menyara keluarga merupakan sumber inspirasi untuk berjaya.

"Saya ingin membuktikan anak pemandu bas juga boleh berjaya. Saya menjadikan emak saya sebagai idola dan sumber kekuatan kerana beliau juga merupakan ibu tunggal dan inilah hadiah yang paling bermakna buat emak.

"Tiga adik saya juga semuanya berjaya masuk ke universiti dengan usahanya membawa bas sekolah. Beliau merupakan insan yang paling gembira pada hari konvokesyen saya,” katanya.

Tuah juga menjadi miliknya apabila Jumaat lalu Khanmani menerima Hadiah Kecemerlangan Master Sains Veterinar dari Fakulti Veterinar sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-46.

“Saya juga seperti tidak percaya apabila Fakulti Veterinar memberikan saya anugerah tersebut. Saya juga ditawarkan untuk menjadi Tenaga Akademik Muda dan sedang dalam proses untuk menyambung PhD,” katanya. -UPM

SXEUQA~