| Universiti Putra Malaysia

IBS anjur 1st ICPoFiVD kumpul penemuan dan penyelidikan terkini vaksin haiwan dan terapeutik ayam serta ikan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun

PUTRAJAYA, 17 Januari - Institut Biosains (IBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan 1st International Conference on Poultry and Fish Vaccinology and Diagnosis (ICPoFiVD) 2023 bagi berkongsi penemuan penyelidikan terkini serta mewujudkan hubungan penyelidikan baharu dalam dunia vaksin haiwan dan terapeutik ayam serta ikan.

Pengerusi ICPoFiVD, Prof. Dr. Zunita Zakaria berkata program ini merupakan persidangan yang pertama menggabungkan penyelidik daripada dua ternakan utama di Malaysia, iaitu ayam dan ikan selaras dengan bidang khusus IBS sebagai Pusat Kecemerlangan Tinggi (HICOE), vaksin haiwan dan terapeutik.

“Persidangan ini juga bertujuan untuk menyediakan maklumat terkini berkenaan aplikasi vaksin, diagnostik, dan amalan pengurusan penyakit haiwan dalam pertanian mampan.

“Saya sangat gembira melihat penyertaan hari ini kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Pada awalnya kami menyasarkan 120 penyertaan sahaja sekarang sudah melebihi 200 penyertaan daripada dalam dan luar negara,” katanya.

Menurutnya, persidangan ini turut melibatkan kerjasama dengan Persatuan Ayam Veterinar Dunia-Malaysia (WVPA), World's Poultry Science Association – Cawangan Malaysia (WPSA), Persatuan Perikanan Asia (AFS), Persatuan Perikanan Malaysia (MFS), dan Informa Markets Malaysia Sdn. Bhd yang akan membantu keberkesanan persidangan ini diakhirnya.

“Persidangan selama dua hari bermula hari ini sehingga esok 18 Januari 2023 juga akan membincangkan kawalan penyakit, pengeluaran yang tinggi termasuklah memastikan kualiti produk sentiasa baik dan kos pengeluaran yang munasabah,” katanya.

Beliau berharap perkongsian antara peserta dalam persidangan ini akan memberi manfaat kepada semua penyelidik, pemegang taruh termasuklah pengguna ayam dan ikan. -UPM

WXEQWA~