| Universiti Putra Malaysia

HPUPM tubuh wakaf ambulans bantu selamatkan nyawa pesakit

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Md Nasir Hussin

SERDANG, 22 Februari - Susulan kes kecemasan semakin meningkat ditambah keperluan perubatan semakin meruncing, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) tampil menubuhkan Dana Wakaf Ambulans HPUPM bagi membeli satu unit ambulans baharu untuk menampung keperluan tersebut.

Pengarah HPUPM, Prof. Dr. Hamidon Basri berkata pihaknya mencari pewakaf yang bermurah hati untuk membantu sungguhpun sumbangannya kecil demi menyelamatkan nyawa pesakit kami.

"Jumlah dana diperlukan adalah sebanyak RM500,000.00. Setiap sumbangan adalah layak mendapat pengecualian cukai oleh Perbadanan Wakaf Selangor yang mana salinan transaksi boleh dimajukan ke bit.ly/WakafAmbulansHPUPM.

“Semoga kita dapat bersama menjayakan pembelian wakaf ambulans ini bagi kegunaan pesakit HPUPM. Penyumbang boleh menyumbang secara tunai, cek atau pindahan ke akaun Dana Wakaf Ilmu UPM CIMB ISLAMIC BANK melalui nombor akaun: 8602684995 dengan catatan Wakaf Ambulans HPUPM,” katanya.

Selain itu, HPUPM turut melaksanakan tabung wakaf HPUPM bagi menampung kos pengoperasian bagi jangka masa panjang dan menjadikan hospital ini sebagai sebuah hospital wakaf yang dapat menawarkan perkhidmatan perubatan terbaik kepada pesakit yang memerlukan.

HPUPM juga bersama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM merangka gerak kerja pelaksanaan tabung ini secara berkala bagi meningkatkan dana wakaf yang terkumpul.

“Kami ingin mengesyorkan agar individu membuat potongan gaji agar lebih bersemangat untuk bersedekah atau memberi wakaf kerana ada masa kita tidak bersemangat untuk bersedekah.

“Potongan gaji amat membantu agar sumbangan yang diberi secara berterusan dan mengikut kemampuan.

“Bagi komuniti, kami juga menyediakan tabung wakaf secara fizikal di lobi HPUPM semoga segala sumbangan yang diberikan dapat membantu golongan sasar tepat pada masanya,” katanya. -UPM

WXETOAh~