| Universiti Putra Malaysia

Hannah, Felo Perdana Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ingin bentuk dasar bioteknologi Malaysia yang lebih baik

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang


SERDANG, 28 Nov - Graduan Bacelor Sains Biokimia, Hannah Hazri, 23, juga Felo Perdana Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 2022 ingin membantu Malaysia dalam membentuk dasar bioteknologi negara yang lebih baik.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata, kebanyakkan graduan bidang sains hanya memandang jurusan ini hanya sekadar untuk menyambung pengajian semata-mata.

“Kita perlu melihat sains ke arah pembentukan Malaysia yang lebih tinggi dan sebagai orang sains saya melihat kekurangan polisi dalam pembentukan dasar sains dan teknologi kerana Malaysia bukan negara yang membina teknologi.

“Saya melihat pembentukan dasar sains sangat penting dan saya ingin menyeru graduan UPM terutamanya dalam bidang sains dan bioteknologi untuk bantu membuat dasar bersama,” katanya.

Beliau yang mempunyai minat dalam arena politik berkata industri bioteknologi di Malaysia sepanjang 10 tahun telah melahirkan 8,000 graduan namun hanya 40 peratus sahaja yang bekerja dalam bidang ini.

“Ketika membuat Dasar Bioteknologi Negara 2.0 saya banyak memberi input kepada Kementerian ketika itu dan jurusan bioteknologi yang saya ikuti di UPM amat membantu semasa proses ini.

“Jadi sangat penting kepada kita untuk sama-sama membantu bidang ini dan membina lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya. -UPM

SXEYQAQ~