| Universiti Putra Malaysia

Fakulti Veterinar kongsi ilmu dengan Veterinar Sabah

Oleh: Dr. Nur Mahiza Md Isa

KINARUT (Sabah), 3 Ogos - Pensyarah Fakulti Veterinar Universiti Putra (UPM) berkongsi ilmu dengan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) pada seminar Herd Health Program and Liver Fluke dan bengkel ‘Hands-on Basic Veterinary Parasitology Diagnosis’  di Pusat Teknologi Daging Sabah (SMTC) di sini.

Program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 38 orang kakitangan JPVS dari wilayah Beaufort, termasuk kakitangan Makmal Kesihatan Awam Veterinar dan Makmal Diagnosa Veterinar Sabah.

Pengurus SMTC, Kadir Umar berkata program itu bermanfaat kepada kakitangan yang terlibat kerana ia memberi pendedahan dan perkongsian pengalaman mengenai pendekatan pelaksanaan pogram kesihatan gerompok dan teknik diagnosa terkini.

Ketua program itu, yang juga Pakar Parasitologi, Dr Nur Mahiza Md Isa pula berkata program berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada kakitangan JPVS yang proaktif untuk menambah kemahiran ilmu dalam bidang haiwan ternakan ruminan.

Antara topik yang dibincangkan adalah ‘Kepentingan Vaksin Haemorrhagic Septicaemia (HS), pendekatan untuk  pelaksanaan pemvaksinan dan penyakit cacing hati pada haiwan ruminan.

Peserta juga mempelajari ilmu diagnosis asas parasit secara ringkas seperti diagnosa ke atas najis dan darah.

Pakar produksi ternakan ruminan UPM, Professor Madya Dr Lokman Hakim Idris berkata, program seumpama itu merupakan pemindahan ilmu merangkumi pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan yang dapat memperkayakan kualiti modal insan.

Seorang peserta seminar dan bengkel itu, Ahlun Kanak. berkata melalui program seperti itu kakitangan memperoleh maklumat terkini berkenaan cacing khususnya cacing hati.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Penyelidikan, JPVS, Dr Hajjah Normah Yusop ketika merasmikan program itu berharap ia akan diteruskan dan diperkembangkan ke daerah lain di Sabah.

Katanya, ia dapat membantu mengenalpasti masalah penternak di Sabah, manakala pakar akademik UPM pula boleh mencadangakan penyelesaian bagi masalah berkenaan.

“Program ini menambahkan jalinan masyarakat dengan ahli akademik,” katanya.

Program itu diadakan bersempena penyelidikan bersama UPM-JPVS membabitkan kajian penyakit Fascioliasis atau cacing hati ke atas ternakan ruminan Sabah di daerah Papar dan kawasan sekitarnya seperti Kuala Penyu, dan daerah Beaufort. Ia untuk melihat sejauh mana infeksi penyakit cacing hati pada ternakan ruminan seperti lembu, kerbau, kambing dan bebiri di Sabah.

Kajian selama enam hari itu dari 29 Julai hingga 3 Ogos 2019, melibatkan empat aktiviti utama iaitu pengambilan sampel, seminar, bengkel dan analisis sampel. Seramai 42 orang pegawai JPVS, tiga pelajar UPM dan dua pelajar UMS telibat dalam program kerjasama itu. - UPM

 

 

 

 

SXDdHAR~