| Universiti Putra Malaysia

Dua Pasangan Suami Isteri Sepakat Graduat Bersama

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
 
 
SERDANG, 30 November - Perjalanan untuk mendapatkan master mempunyai cabaran yang besar bagi pasangan suami isteri yang menyambung Master Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama-sama.
 
Mohd Nazim Abdul Karim , 43, suami, dan Masuri Mokhtar 40, isteri mengorbankan waktu rehat mereka pada hujung minggu demi melengkapkan pengajian Master tanpa melupakan tanggungjawab kepada empat orang anak.
 
 
“Setiap kali hujung minggu kami akan bergilir-gilir untuk menyiapkan master agar anak-anak tidak terabai dan menjalankan tanggung jawab yang sepatutnya. Namun, kami berdua memilih hari Ahad untuk sama-sama meluangkan masa bersama empat orang cahaya mata.
 
“Sebagai isteri belajar sama-sama ini agak mencabar kerana anak-anak masih kecil dan suami pula bekerja sambil belajar manakala saya diberikan cuti. Dengan nak urusan rumah tangga, anak belajar lagi, tetapi saya berjaya lakukan bersama suami tercinta.
 
“Saya sebagai ketua keluarga pula, dengan kerja setiap hari, bantu isteri uruskan rumah tangga, kelas atas talian dan uruskan jadual anak-anak juga untuk kelas dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah cabaran yang menguatkan saya.
 
Tambah kedua-dua pasangan ini, mereka sangat bersyukur kerana memainkan peranan masing-masing dan paling penting bergerak seiring dan sejalan semasa mengambil master di UPM.
 
“Bila buat bersama-sama pasangan, Insya allah segala urusan akan dipermudahkan kerana sokongan padu. Bukan itu sahaja, pencapaian yang akan dikecapi akan lebih cemerlang, “ katanya.
 
 
Sementara itu, buat pelajar Bacelor Doktor Perubatan Veterinar, Qurratul Saadah Zulkafli, 26 dan suami, Naqiuddin Shahrufajar 26, Bachelor Sains Perhutanan dan Alam Sekitar telah mendirikan rumah tangga semasa tahun pertama ijazah sarjana muda di UPM berjaya menggengam ijazah sarjana muda.
 
“Kami ibarat satu pasukan yang sama-sama berjuang untuk mendapatkan ijazah ini. Untuk mencapai kejayaan, sebuah pasukan itu perlu kesepakatan dan bertolak ansur agar semuanya dipermudahkan,” katanya. - UPM

SXDcQA~