| Universiti Putra Malaysia

Doa arwah ibu iringi kejayaan pemuda genggam Master dan PTD serentak

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Muhammad Ezham Hussin



SERDANG, 1 Disember - Hari ini adalah sangat bermakna buat Mohamad Azren Putra Mat Desa, 28, apabila berjaya mendapatkan Master Sains Pengurusan Hutan dan Sains Ekosistem Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mendapat penempatan bertugas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serentak.

Beliau kelihatan cukup gembira kerana berjaya mendapat dua pencapaiaan serentak dan membanggakan dirinya yang mempunyai cerita yang bakal diingati sampai bila-bila berkat doa arwah ibu.

“Doa ibu adalah makbul, doanya yang terakhir buat saya, ibu doakan kali ini kau dapat kerja PTD ini.

“Semasa sambung master, saya telah menghadiri temuduga PTD, namun rezeki tidak memihak kepada saya.

“Pada waktu itu pula, saya terpaksa pulang ke kampung dan menyiapkan master di sana kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ibu sedang sakit. Saya dapat menjaga ibu selama dua bulan, dan sebelum ibu pergi dia kata kau akan dapat kerja PTD untuk kali kedua ini.

Anak bongsu daripada 7 beradik berkata semua urusannya dipermudahkan setelah pemergian ibu, tesis master dapat dihantar tepat waktu dan pada masa sama beliau dipanggil untuk temuduga PTD sekali lagi.

“Alhamdulillah, berkat doa ibu saya, saya dapat capai dua pencapaian ini serentak.

“Pesanan saya kepada semua rakan-rakan seperjuangan lain, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam hidup,” katanya.-UPM

WXDdRAZ~