Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 28 November - Kehilangan abang sulong telah menyebabkan graduan Doktor Falsafah (Kesihatan Awam), Dr. Mazani Mohammad Yusop, putus harapan untuk meneruskan kehidupan kerana abang merupakan satu-satunya insan yang banyak berkorban demi pendidikan adik-adiknya.
Abang sulong beliau pergi menghadap illahi pada 1 Oktober 2019 kerana sakit jantung menyebabkan beliau mahu berhenti belajar serta merta kerana semangat telah hilang.
Dr. Mazani berkata, selama tiga bulan beliau mendiamkan diri dan menghilangkan diri kerana merasakan hidupnya sudah tidak bermakna kerana PhD yang dibuat didedikasikan khas untuk abang sulungnya yang sangat mementingkan pendidikan adik-adiknya.
“Kerana sangat tertekan saya telah diuji dengan sakit jantung pada Disember, 2019 selang tiga bulan pemergian abang. Pada waktu itu saya perlu melakukan pembedahan pemasangan stent ketika sedang membuat PhD. Seminggu selepas memasang stent saya mula melaksanakan proses pengumpulan data dan ianya sangat mencabar dengan proses pemulihan kesihatan saya.
“Namun saya bangkit untuk mendapatkan PhD ini untuk didedikasikan kepada arwah abang dengan sokongan daripada keluarga tercinta dan penyelia yang sangat membantu. Penyelia saya amat memberi sokongan agar saya bangkit dalam menyiapkan PhD ini, “ katanya.
Bapa kepada empat orang anak ini turut berpesan kepada golongan muda di luar sana untuk tidak mudah mengalah ketika menghadapi ujian yang berat.
“Ingat jatuh sekali dan bangkitlah berkali-kali. Insyaallah akan ada sinar di hujung terowong,” katanya. -UPM
Date of Input: 28/11/2022 | Updated: 28/11/2022 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA