| Universiti Putra Malaysia

BioChallenge 6.0 mengasah kreativiti melalui eksplorasi ilmu Biologi

Oleh: Dr. Shahrizim Zulkifly, Insyirah Ahmad Zamri, Muhamad Haidi Arif Mohd Talib, Nur Shafieza Aisha Abd Rahman, Murni Halim, Nurul Ain Fatihah Razali, Nor Syakila Mohd Radzuan

SERDANG, 9 Mac – Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program BioChallenge 6.0 2023 bagi mengasah kreativiti melalui eksplorasi ilmu Biologi.

Program yang bertemakan “Discovering Biology with Creativity” melaksanakan enam kategori iaitu “BioPHOTO”, “BioINNOVATE”, “BioCOMIC”, “BioVIDEO”, “BioINFOGRAPHIC” serta “BioESSAY”.

Seramai 227 peserta yang terdiri daripada pelajar UPM serta orang awam dari Kolej Genius Insan (KGI), Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah (SMK SAAS) serta SMK Kantan Permai telah menyertai BioChallenge 6.0 secara dalam talian dan secara bersemuka di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM.

Bagi kategori “BioINNOVATE Commercial Product” serta “BioINNOVATE STEM Teaching Tools”, kategori itu telah berlangsung secara bersemuka di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM manakala bagi kategori-kategori yang lain telah berlangsung secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial seperti Instagram dan TikTok dengan hashtag #BioChallenge6.

Penasihat program, Dr. Shahrizim Zulkifly berkata, program BioChallenge 6.0 bertujuan untuk menggalakkan lagi penerokaan ilmu Biologi dengan kaedah baharu yang lebih menarik dan berkesan dengan lebih meluas serta meningkatkan daya kreativiti serta inovasi melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

“Program ini membuktikan bahawa teknik pembelajaran bukan hanya bergantung kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka di dalam kelas, sebaliknya juga memanfaatkan penggunaan teknologi yang sedia ada untuk penerokaan ilmu dengan kaedah yang baharu dan lebih cekap,” katanya.

Pengarah program, Insyirah Ahmad Zamri program itu dapat menyalurkan ilmu pengetahuan baharu kepada para peserta melalui cara yang menarik dan berkesan serta dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Program ini telah berjaya menjadi medium untuk mengasah bakat dan kreativiti para peserta di samping mendalami ilmu sains Biologi melalui aktiviti-aktiviti yang disertai serta saya berharap ianya akan memberi manfaat kepada peserta,” katanya.

Sementara itu, BioChallenge 6.0 2023 merupakan salah satu usaha UPM khususnya Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM untuk membantu meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri pelajar UPM serta melahirkan mahasiswa yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif. – UPM

SXESOAm~