ASPER UPM Kongsi Cara Pembuatan Sabun Berasaskan Lobak Merah Kepada Warga Rumah Teduhan Kasih | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » ASPER UPM kongsi cara pembuatan sabun berasaskan lobak merah kepada warga Rumah Teduhan Kasih

ASPER UPM kongsi cara pembuatan sabun berasaskan lobak merah kepada warga Rumah Teduhan Kasih

 
 
BUKIT BERUNTUNG, 8 Julai: Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPER) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah membuat perkongsian ilmu kepada warga Rumah Teduhan Kasih, Bukit Beruntung berkaitan pembuatan sabun berasaskan bahan semulajadi iaitu ekstrak daun pandan dan ekstrak lobak merah.
 
Warga Pengasih yang berusia dalam lingkungan 19 sehingga 30 tahun dipilih menyertai program ini untuk memberi motivasi kepada mereka bagi mengharungi kehidupan selepas tamatnya sesi pemulihan di Rumah Teduhan Kasih.
 
Pengarah Program, Prof. Madya ChM. Dr. Siti Efliza Ashari berkata, warga pengasih didedahkan dengan pembuatan sabun agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan menggunakan kemahiran hidup yang dipelajari daripada perkongsian ilmu yang dibuat.
 
"Saya berharap warga belia yang berada di sini dapat menimba ilmu pengetahuan berkenaan bahan semulajadi yang digunakan dalam pembuatan sabun untuk dimanfaatkan kepada mereka bagi menyara kehidupan di luar sana selepas ini.
 
"Bukan itu sahaja, mereka turut didedahkan berkenaan bahan kimia terlarang seperti dadah dan daun ketum sekaligus dapat memberikan manfaat kepada golongan belia tersebut dan melahirkan insan yang berkualiti dan bermotivasi tinggi," katanya.
 
Selain itu, Dr. Engku Mardiah Engku Kamarudin daripada Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling Penyalahgunaan dadah UPM menyampaikan sesi motivasi tentang pengenalan, kesedaran dan pencegahan dadah kepada warga Pengasih dalam mengharungi hidup selepas tamatnya sesi pemulihan di Rumah Teduhan Kasih.
 
Program perkongsian ilmu bertemakan “ASPERChemART 2.0” ini telah diadakan di Rumah Teduhan Kasih pada 8 Jun lalu. - UPM

Date of Input: 21/07/2023 | Updated: 21/07/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
WWJYDAg:03:58