| Universiti Putra Malaysia

Anak-beranak sambung legasi ayah ibu sebagai alumni UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhammad Ezham Hussin
 
SERDANG, 1 Disember - Dua beradik Nur Sofea Qistina Zulkarnain, 26, dan Muhammad Aiman Hakim Zulkarnain, 24 berkongsi pentas konvokesyen yang sama apabila masing-masing meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda di UPM seperti kedua ibu bapa mereka yang merupakan alumni UPM.
 
 
Sofea yang menyambung pengajian dalam program Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Kepujian berkata UPM menjadi pilihan utamanya sejak di bangku sekolah menengah lagi.
 
"Selain dekat dengan rumah, ibu dan ayah juga alumni UPM yang menyebabkan saya ingin menyambung pengajian di sini sejak sekolah menengah. Adik saya pula memang rezekinya daripada Asasi Sains Pertanian di UPM,” katanya.
 
Menurut Aiman graduan Bacelor Sains Kepujian Sains Instrumentasi, permohonannya ke kampus lestari ini juga didorong oleh kedua ibu bapanya yang pernah menuntut ilmu di UPM.
 
“Saya melihat UPM mempunyai prestasi yang baik dan saya juga ingin menjadi hebat seperti ibu dan ayah saya yang merupakan produk keluaran UPM pada tahun 1993 (ayah) dan 1994 (ibu),” katanya.
 
Sementara itu, bapanya, Zulkarnain Abdullah berkata melihat prestasi kedudukan semasa UPM berkemungkinan universiti ini boleh menjadi universiti bereputasi tinggi dan menghasilkan lebih ramai insan yang berbakti kepada Malaysia.
Dalam pada itu, graduan Bacelor Sains Fizik, Adlin Umairah Azhan, 23 turut mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya menjadi alumni Fakulti Sains.
 
 
Katanya ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi apabila beliau turut menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Fizik seperti ayahnya dahulu manakala ibunya pula di Jabatan Kimia.
 
“Ayah saya sejak Matrikulasi sehingga tamat PhD merupakan produk keluaran UPM dan kini merupakan Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Jasin manakala ibu saya pula bermula Matrik sehingga Master di sini,” katanya. - UPM

SXDdWAR~