| Universiti Putra Malaysia

354 kumpulan pelajar UA dan Matrikulasi sertai Pertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi 2023

SERDANG, 18 Februari - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail telah merasmikan Pertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2023 yang melibatkan 354  (200 kumpulan fizikal dan 154 kumpulan atas talian) kumpulan dari universiti awam dan matrikulasi di seluruh Malaysia.

Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, PIITRAM2023 merupakan satu platform inovasi yang terbaik dalam mengembangkan dan mengetengahkan bakat pelajar asasi dan matrikulasi dalam bidang inovasi dan reka cipta berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan.

“Ini sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan yang kini memberi tumpuan kepada kepentingan pendidikan dalam STEAM bagi melahirkan modal insan yang mahir dan inovatif,” katanya.

Program ini dianjurkan selama dua hari pada 17 sehingga 18 Februari di Pusat Asasi Sains Pertanian, Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM dan Panggung Percubaan UPM.

PIITRAM2023 melibatkan empat (4) kategori pertandingan iaitu kategori pelajar (sains dan teknologi / sains sosial), ahli akademik dan pentadbir bagi melatih dan menggalakkan para peserta menghasilkan inovasi. -UPM

SXDdAA4~