| Universiti Putra Malaysia

18 universiti sertai pertandingan Olimpiad Matematik 2022 anjuran INSPEM

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 17 Disember - Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Management Sciences Operations Research Society of Malaysia (MSORSM), Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan Akademi Ilmuan Sains Matematik Malaysia (AISMM) telah menganjurkan pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2022 (OMUM 2022).

Pertandingan ini disertai oleh 172 orang pelajar dari universiti awam (UA) dan swasta di Malaysia, namun pada pusingan akhir hanya 39 orang pelajar dari 11 universiti telah terpilih.

Pengarah INSPEM UPM, Prof. Dr. Muhammad Rezal Dato’ Kamel Ariffin berkata, penganjuran OMUM 2022 dapat menilai pencapaian pelajar pra-siswazah khususnya, dan kejayaan para pendidik dan penyelidik secara amnya.

“Sokongan yang diberikan oleh UPM terhadap penganjuran OMUM 2022 adalah langkah awal untuk sama-sama berganding bahu dengan Universiti Awam dan Swasta di Malaysia bagi melaksanakan program-program seperti ini untuk meningkatkan pencapaian serta kualiti ilmu Matematik di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Majlis Penyampaian Hadiah OMUM 2022 telah diadakan pada 17 Disember 2022 di Dewan Taklimat Serdang, UPM dengan menganugerahkan sijil kepujian kepada 10 peserta terbaik (kategori individu) di atas pencapaian dalam peperiksaan akhir OMUM 2022.

Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu individu dan berkumpulan dan setiap kategori yang dipertandingkan mempunyai tiga pemenang yang akan memperoleh sijil kepujian berserta hadiah wang tunai dan piala.

Bagi kategori individu, johan dimenangi oleh Tan Hong Sheng, Xiamen University Malaysia, Naib johan, Tee Yee Kai, Universiti Tunku Abdul Rahman dan tempat ketiga, Peter Chai Chee Kiong, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Manakala untuk kategori berkumpulan, johan dimenangi oleh Universiti Tunku Abdul Rahman, naib johan, UTM dan tempat ketiga juga disandang oleh UTM.

Majlis Penyampaian Hadiah OMUM 2022 telah disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Pengetua UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah. - UPM

WXEUNAU~