| Universiti Putra Malaysia

100 pelajar UPM tanam 1,280 anak pokok bakau di Teluk Kerang

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar


PONTIAN, 26 Februari - Cakna dengan hakisan yang semakin meningkat di kawasan pantai dan muara sungai, 100 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menanam 1,280 anak pokok bakau di Jeti nelayan, Kampung Timur Laut, Teluk Kerang, Pontian, Johor hari ini.

Naib Canselor UPM, YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata 1,280 anak pokok bakau telah disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor menerusi program Salam Desa 3.0 anjuran Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) UPM.

"Penanaman anak pokok bakau ini memberikan pendedahan kepada pelajar UPM kepentingan penjagaan muara sungai dan menjadikan kawasan terbabit sebagai kawasan penampan ombak untuk mencegah hakisan muara sungai.

"Semoga anak-anak pokok yang ditanam ini hidup dengan baik dan tidak dihanyutkan oleh air," katanya.

Sementara itu, pengarah program, Nur Azrina Erialdi berkata penanaman bakau ini akan memberi impak positif kepada alam sekitar melalui perlindungan pesisir pantai dan pengembangan ekosistem bakau.

Selain aktiviti penanaman anak pokok bakau, program Salam Desa 3.0 bermula 24 Februari sehingga hari ini turut melakukan aktiviti keluarga angkat antara pelajar UPM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan 6, Kampung Sungai Bunyi, Mukim Rimba Terjun.

Menerusi program ini, para peserta yang tidak pernah merasai suasana hidup di kampung diberi peluang dan ruang merasai masyarakat kampung bekerjasama mengharmonikan penduduk kampung.

Dalam pada itu, tiga orang pelajar antarabangsa iaitu dua dari Nigeria dan seorang pelajar mobiliti dari Jepun turut menyertai program ini.

Minori Asami, 23, dari Jepun berkata beliau sangat seronok dan teruja merasai pengalaman baharu menanam pokok bakau di Malaysia. -UPM

WXEYDA~