| Universiti Putra Malaysia

YOSH UPM raikan sambutan Tahun Baru Cina bersama pelajar dan komuniti Cina

Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi

SERDANG, 22 Januari - Perbezaan pegangan agama tidak memisahkan YOSH UPM bersama rakan dan saudara Cina, malah silaturahim mereka bertambah erat apabila bersama-sama dapat berkumpul di perayaan Tahun Baru Cina.

Presiden YOSH UPM, Azzam Luqman berkata, program yang berlangsung itu merupakan sambutan paling meriah dianjurkan YOSH UPM bagi meraikan rakan-rakan berbangsa Cina selepas berdepan COVID-19 sejak tiga tahun lalu.

“Melalui sambutan ini, YOSH UPM mahu mempromosikan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini dan semangat ini penting bagi memastikan kerukunan masyarakat akan terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Adelyn Deo Pei Ming berkata, sambutan kali ini lebih meriah apabila dapat makan besar dan berjumpa sanak-saudara selepas tidak boleh berbuat demikian semasa COVID-19 lalu menyerang negara dua tahun lalu.

“Tahun ini saya gembira kerana dapat sertai aktiviti ini walaupun tidak balik bercuti bersama keluarga dan dapat berkenalan rakan baharu dari pelbagai bangsa dan agama sekali gus menjadikan Tahun Baharu Cina lebih meriah,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan seni kaligrafi Cina, jamuan pelbagai hidangan tradisi Cina dan ziarah di rumah komuniti Cina sekitar Serdang.

Pelajar Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan (Kepujian), Fakulti Sains, UPM,  Zainida Nor Izzati Mohd Zainuri, bersyukur dan berterima kasih kepada Persatuan Zhong Hua dan Chapter Alumni YOSH UPM yang mengambil berat mengenai keadaan pelajar.

"Saya berasa teruja sangat dan ini adalah pengalaman pertama saya sertai sambutan Hari Tahun Baru Cina bersama dengan rakan-rakan berbangsa Cina. Jika sebelum ini selalunya saya lihat dari jauh saja tetapi kali ini saya dapat rasa sendiri sambutan ini,” katanya. - UPM

WXDcVAd~