| Universiti Putra Malaysia

Workforce bantu tangani penyakit Zoonosis di kalangan masyarakat Orang Asli

Oleh: Norsaiful Bahri Abdul Habib

BELUM (Perak) – Seramai 35 pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Kolej Perubatan Pulau Pinang (PMC) mengadakan lawatan tugasan lapangan berkaitan jangkitan zoonosis bawaan anjing di kalangan masyarakat Orang Asli Jahai di Sungai Tiang, Hutan Belum.

Ketua projek, Prof. Dr. Abdul Rashid Khan berkata kajian terhadap kumpulan masyarakat Orang Asli itu dilakukan untuk membangunkan strategi intervensi One Health bagi memecahkan rangkaian jangkitan zoonosis bawaan anjing yang berkeliaran  di penempatan masyarakat itu.

“Lawatan ini adalah sebahagian daripada geran penyelidikan daripada Malaysia One Health University Network, sebuah rangkaian di bawah projek USAID One Health Workforce, untuk mengkaji pengetahuan, sikap dan amalan,” katanya.

Katanya, masyarakat Orang Asli Jahai yang merupakan kumpulan kecil suku kaum yang hidup di dalam hutan itu berdepan masalah ekoran pertambahan bilangan anjing liar di kawasan penempatan mereka.

“Kurangnya perhatian boleh membawa kepada kemunculan jangkitan zoonosis di kalangan manusia ekoran daripada bawaan anjing ini. Sebagai sebahagian daripada intervensi One Health Workforce, pelajar dapat menimba pengetahuan dan mewujudkan kesedaran berkaitan potensi morbiditi dan kematian yang dikaitkan dengan jangkitan zoonosis bawaan anjing,” katanya.

Ketua suku kaum itu, Ah Chong berkata masyarakat Jahai yang umumnya suka berburu, menggunakan anjing ketika memburu. Bagaimanapun, ekoran daripada pembiakan yang tidak terkawal dan kurangnya pemangsa, bilangan anjing itu telah bertambah kepada 100.

“Anjing-anjing itu tidak dijaga dan tidak menerima rawatan sewajarnya termasuk prosedur pemvaksinan atau menyahcacing,” katanya.

Sementara itu, pelajar Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Chong Jia Jie berkata penyertaannya dalam projek itu membolehkannya berinteraksi dengan masyarakat terbabit, yang memberikannya pengalaman berharga.

“Kumpulan ini berkumpul di Pulau Banding pada sebelah pagi sebelum memulakan perjalanan ke lokasi menaiki bot.

“Lawatan ini mengajar saya untuk menghargai masyarakat ini yang terabai, yang memerlukan jasa baik dan bantuan kita. Adalah lebih baik untuk memberi daripada meminta,” katanya.

Projek hari itu tertumpu kepada kumpulan pelajar yang mengumpul data, termasuk kaji selidik mengenai pengetahuan, sikap dan amalan masyarakat Jahai mengenai jangkitan zoonosis bawaan anjing, manakala satu kumpulan pelajar lagi  mengambil sampel darah dan swab daripada anjing liar itu.

Keseluruhannya, seramai 175 orang memberi respons terhadap kaji selidik itu, manakala sampel daripada 35 ekor anjing dikumpulkan. Ketika proses pengumpulan data itu, para pelajar terbabit berpeluang berkongsi maklumat mengenai kesedaran mengenai potensi risiko yang dikaitkan dengan anjing liar.

 

Para pelajar itu juga dapat mempelajari mengenai masyarakat Jahai serta struktur sosial dan budaya mereka, selain mengenali antara satu sama lain.

Lawatan itu berakhir pada tengah hari keesokannya dengan taklimat oleh Prof. Dr. Abdul Rashid Khan dari PMC dan Dr. Lau Seng Fong dari UPM.  Kumpulan UPM dan PMC pulang dengan pemahaman yang lebih mengenai interaksi manusia, haiwan dan alam sekitar serta menghargai pentingya bekerjasama dalam mencapai matlamat yang sama.

Fasa kedua projek yang dijadualkan pada Mei, akan memberi satu lagi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi petugas dan duta One Health yang efektif. - UPM

 

 

SXDdXAj~