WAZAN UPM Menang Insentif Kutipan Zakat Ramadhan 1441H Kategori IPT | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » WAZAN UPM menang insentif kutipan Zakat Ramadhan 1441H kategori IPT

WAZAN UPM menang insentif kutipan Zakat Ramadhan 1441H kategori IPT

Oleh: Mohd Rizal Helmi A Razak

SHAH ALAM, 14 Okt – Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai pemenang Insentif Kutipan Zakat Ramadhan 1441H kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang bulan Ramadhan 1441H/2020M.

WAZAN UPM selaku penolong amil Lembaga Zakat Selangor (LZS) diperingkat IPT memperoleh kutipan zakat (zakat harta dan zakat fitrah) tertinggi RM827,081.73 untuk menduduki tempat pertama sejak kempen itu diadakan.

Tempat kedua adalah Bahagian Zakat, Wakaf dan Infaq (BZWI), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang memperoleh kutipan RM309,769.05 dan ketiga Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (BZSW) Universiti Teknologi Mara (UiTM) (RM291,933.44).

Ketua Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf, WAZAN,  Zuhaimi Abd Rahim berkata, insentif itu adalah usaha bersama yang dilakukan oleh warga WAZAN dengan bimbingan LZS di samping kepercayaan pembayar zakat untuk terus menunaikan kewajipan membayar zakat di WAZAN UPM.

“Saya mendoakan agar seluruh pembayar ini dikurniakan kebaikan dan kerahmatan di samping dapat terus bersama kami di WAZAN agar lebih ramai lagi asnaf dapat disantuni dan dibantu demi kebaikan dan kecemerlangan mereka,” katanya.

Majlis penyampaian insentif itu diadakan di AEON Shah Alam dan disampaikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Agensi, LZS, Zainuddin Johari kepada Pengarah WAZAN UPM, Dr. Razali Othman.

Dr. Razali berkata penganjuran insentif seumpama itu bertujuan memberi motivasi dan penghargaan kepada semua Penolong Amil dalam kalangan IPT di Selangor.

Turut hadir ialah Pengarah BZSW UiTM, Mohd Zaki Abd Rahim; Eksekutif Pengurusan Agensi, LZS, Dr. Mohd Ashrof Zaki Mohd Yaakob; dan Ketua Seksyen Pengurusan Zakat BZWI, KUI,  Mohamad Hanafi Ismail. - UPM

Tarikh Input: 14/01/2021 | Kemaskini: 14/01/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJbCAy:02:00