| Universiti Putra Malaysia

WAZAN launches Zakat and Waqf al-Falah Month UPM 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 11 April - Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM telah melancarkan Bulan Zakat Dan Wakaf al-Falah 2022 bersempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 tahun UPM di Galeri Putra, Bangunan Canselori Putra, di sini hari ini.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata melalui pelancaran tersebut WAZAN akan terus melaksanakan usaha cakna dan prihatin dalam aktiviti kebajikan kepada pelajar asnaf dan seterusnya kepada warga UPM.

“Saya menyokong penuh usaha WAZAN dalam memperuntukan dana kepada program-program yang menyantuni warga UPM di bulan Ramadhan. Pelbagai peruntukan bantuan yang disalurkan oleh WAZAN diharapkan dapat meringankan beban kewangan mereka yang berkeperluan,” katanya.

Pengarah WAZAN UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang berkata WAZAN mampu menjadi platform yang ideal bagi perkongsian kekayaan dan manfaat dalam kalangan ummah melalui kerjasama, kesukarelawan, misi bantuan serta pelbagai program penjanaan.

“Pelancaran bulan zakat dan wakaf ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan jumlah pembayar zakat, pewakaf dan penyumbang menerusi Skim Potong Gaji (SPG) dalam kalangan staf UPM,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.

Turut hadir Pendaftar UPM, Muhazam Mansor, Ketua Bahagian, Hal Ehwal Pelajar (BHEP), NurulIman Ibrahim, Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor, Muhd Fikri Naim Harun, dan Ketua Jabatan Pengurusan Agensi Lembaga Zakat Selangor, Mohd Hairul Azlan Ramlan. - UPM

SXEaBAq~