| Universiti Putra Malaysia

UPM, YPBN anjur Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Sabri Omar

SERDANG, 22 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) menganjurkan Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 bermula hari ini hingga 25 Ogos 2022 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Tujuan Ekspo ini adalah untuk membawakan buku-buku ilmiah serta buku-buku berkaitan pendidikan dan bacaan umum seperti novel dan buku-buku rujukan akademik yang sesuai untuk pelajar dan pensyarah.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata UPM komited menjadi tuan rumah bagi Ekspo ini bagi menyahut peranan para akademia universiti sebagai pelapor kelestarian akademik bagi meneruskan pembudayaan ilmu.

“UPM mempunyai peranan dalam memartabatkan ilmu pemikiran melalui kajian ilmiah dalam pelbagai bidang untuk dikongsikan dengan masyarakat serta meningkatkan kualiti hidup.

“Penghasilan penerbitan ilmiah antaranya dalam bentuk jurnal, buku dan sebagainya haruslah mencapai tahap kualiti yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, pada ekspo ini menampilkan badan - badan penerbitan universiti awam seperti UPM Press, UM Press, UIA Press, UTM Press yang berdaftar di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia.

Selain itu, Ekspo Buku Malaysia 2022 juga disertai oleh badan swasta dan individu ternama antaranya Syarikat Karya Seni, Syarikat Buku Sarjana Media, Koleksi Buku Nadir Pustaka Tok Wan dan pameran lukisan bersejarah Ismail Embong.

Sementara itu, Forum: Memartabatkan Buku Karya Cendekia diadakan menampilkan tiga panel iaitu Dato’ Paduka Prof. Dr. Supyan Hussin, Felo Utama, Institut Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Prof. Dr. Azhar Wahid, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Mohd. Khair Ngadiron, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta moderator forum berkenaan adalah Prof. Dr. Zaid Ahmad dari Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM.

SXEUUA~