UPM Universiti Pertama Negara Perolehi Akreditasi AACSB | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM universiti pertama negara perolehi akreditasi AACSB

UPM universiti pertama negara perolehi akreditasi AACSB

Kurang 5 peratus Sekolah Perniagaan di seluruh dunia diiktiraf AACSB



SERDANG, 30 Julai -  Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan universiti pertama dalam Malaysia  yang berjaya memperolehi akreditasi dalam bidang perniagaan daripada AACSB  untuk Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan Putra Business School (dulu dikenali sebagai Graduate School of Management atau GSM).

Kejayaan UPM dan tujuh universiti antarabangsa yang lain itu diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AACSB International, John J. Fernandes di Tampa, Florida melalui laman www.aacsb.edu baru-baru ini.

Universiti antarabangsa yang lain yang baharu mendapat pengiktirafan AACSB itu ialah The University of Texas at Brownsville (US-TX), Chonnam National University (South Korea), Dongguk University (South Korea), Istanbul University (Turkey), Peking University (China), Providence College (US-RI), and West Texas A&M University (US-TX).

AACSB melalui Peer Review Team (PRT) telah mengaudit UPM pada 27 hingga 30 Mei 2012.

AACSB International atau Association to Advance Collegiate Schools of Business yang ditubuhkan pada 1916 adalah badan akreditasi antarabangsa yang tertua untuk sekolah perniagaan di universiti yang menawarkan program sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah dalam bidang perniagaan dan perakaunan.

John berkata Akreditasi AACSB merupakan pencapaian tertinggi bagi sebuah institusi pendidikan yang menawarkan ijazah perniagaan.

Akreditasi AACSB  adalah ciri kecemerlangan dalam pendidikan perniagaan yang hanya diperolehi oleh kurang lima peratus daripada program perniagaan di dunia. Pada masa kini, terdapat 655 sekolah perniagaan di 44 buah negara yang mengekalkan Akreditasi AACSB.

Universiti Putra Malaysia juga merupakan universiti ke-6 di Asia Tenggara yang mendapat Akreditasi AACSB.

Proses akreditasi melibatkan kajian dalaman yang ketat, penilaian, pelarasan dan dan mengambil tempoh beberapa tahun untuk memenuhi 21 standard yang ditetapkan oleh AACSB International. Semua sekolah perniagaan yang diiktiraf mesti melalui proses Peer Review setiap lima tahun untuk mengekalkan akreditasi mereka.

 



Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi  berkata kurang daripada lima peratus Sekolah Perniagaan di seluruh dunia yang mendapat pengiktirafan AACSB.

Beliau berkata kejayaan UPM mencatatkan satu penanda aras baharu terhadap kualiti pendidikan pengajian tinggi di Malaysia.

“Proses akreditasi merupakan suatu proses yang rumit dan panjang. Sejak 2005, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan sehinggalah proses pengauditan yang terakhir dilakukan pada Jun 2012,” katanya pada sidang media Akreditasi AACSB di sini. Turut hadir ialah Dekan FEP, Prof. Mohd Shahwahid Othman dan Presiden PBS, Prof. Arfah Salleh.

“Kejayaan UPM mendapat  akreditasi AACSB menuntut banyak penilaian, dedikasi dan keazaman untuk untuk mendapat  akreditasi AACSB. Tahniah kepada pihak pengurusan, tenaga pengajar dan sokongan Putra Business School dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan termasuk sokongan yang kuat daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

“Melalui akreditasi ini, UPM bukan sahaja memenuhi standard tertentu kecemerlangan, tetapi telah meningkatkan komitmen berterusan untuk memberikan pendidikan lestari yang berkualiti tinggi kepada pelajar,” katanya dalam sidang media mengumumkan pencapaian UPM di sini.

Dato’ Ir. Dr. Radin Umar mengulas AACSB melibatkan kajian dalaman yang ketat dengan proses penilaian dan pelarasan yang mengambil tempoh beberapa tahun bagi memenuhi 21 standad yang telah ditetapkan antaranya:

  • Aktiviti pengajaran yang berkualiti
  • Penetapan standard yang mencabar tetapi realistik, membimbing peningkatan dalam program pendidikan, dan memberi cabaran kepada pendidik untuk melakukan penambahbaikan berterusan
  • Kualiti akademik hasil daripada ahli fakulti yang berkomunikasi dengan para pelajar dalam satu program sistematik yang disokong oleh institusi
  • Kualiti pendidikan sedia ada dalam institusi

“Pengiktirafan AACSB ini berkait rapat dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN). Dua asas penting dalam PSPTN ialah autonomi dan Top Business School (TBS).

“Kedua-duanya merupakan kriteria penting untuk mendapatkan pengiktirafan AACSB di mana UPM telah dianugerahkan dengan TBS oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) pada tahun 2008.

 



Dato’ Ir. Dr. Radin berkata bagi meneruskan kesinambungan TBS UPM, penting bagi universiti mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa kerana untuk meningkatkan imej, kualiti dan reputasi UPM.

“Untuk membolehkan UPM lebih maju ke hadapan, kami membuat satu keputusan strategik mempercepatkan autonomi bagi Putra Business School dan menubuhkan Yayasan Putra Business School.

“Penubuhan yayasan bukan untuk keuntungan tetapi untuk tujuan pendidikan. Ia merupakan milik 100% UPM dan membolehkan autonomi dijalankan tanpa melalui banyak proses yang melibatkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Dengan ini, PBS mampu untuk mendapatkan tenaga pengajar yang terdiri daripada industrial captain. Dengan kepakaran dari pihak industri sendiri, secara tidak langsung kita mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, seterusnya menjana pendapatan kepada universiti,” ulas beliau.

“Kami percaya dengan mempolopori human governance sebagai niche area, UPM mampu menggapai banyak perkara yang penting dan lebih bermakna. Sebagai contoh, banyak syarikat GLC’s dan badan antarabangsa sedang menjalani latihan di Putra Business School.

Dengan pengiktirafan ini, UPM menyertai kelompok elit sekolah perniagaan terbaik di dunia yang mendapat akreditasi AACSB iaitu The London Business School, INSEAD, University of Pennsylvania, Harvard University, Yale University, Columbia University, EDHEC Business School, Warwick Business School dan University of Toronto.

Berita oleh Khairul Anuar Muhamad Noh, 03-89467469 dan Muhamad Najkhan Mazlan, 03-89466011. Foto disediakan oleh Mohd Hasrul Hamdan, 03-89466189


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568673263