UPM Tubuh Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu Untuk Pengajian Wanita Dayak | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM tubuh Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu untuk pengajian wanita Dayak

UPM tubuh Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu untuk pengajian wanita Dayak

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

KUCHING, 1 Ogos, 2019 - Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu untuk Pengajian Wanita Dayak dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) di sini hari ini.

Kerajaan Sarawak menyumbang dana berjumlah RM5 juta bagi menaja pelbagai aktiviti di bawah kursi berkenaan untuk memperkasakan wanita Dayak melalui pelbagai aktiviti seperti melakar sejarah SIDS, menanda aras pembangunan wanita Dayak sebagai pelan kehadapan dan menganjur kursus dan latihan untuk ahli.

UPM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dan SIDS diwakili Pengerusinya, Dato Ir. Alice Jawan Empaling. Majlis menandatangani MoU disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.

Usaha penubuhan Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu diterajui oleh Fakulti Ekologi Manusia UPM. Turut hadir ke majlis itu ialah Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof. Ahmad Hariza Hashim dan ahli Jawatankuasa Pengurusan fakulti tersebut.

Prof Aini berharap kolaborasi UPM dan SIDS akan merintis ke arah pembangunan dan latihan untuk SIDS dan wanita Dayak.

“UPM yakin kerjasama strategik dengan SIDS dan Kerajaan Sarawak ini akan memperkasakan pendidikan di Sarawak demi kepentingan orang Sarawak amnya dan wanita Dayak khasnya,” katanya.

Beliau berkata kerjasama ini selaras dengan komitmen baharu UPM kepada Sarawak di mana UPM Kampus Bintulu (UPMKB) telah mendapat kelulusan menambahkan satu lagi fakulti iaitu  Fakulti Sains Sosial & Pengurusan di samping fakulti sedia ada iaitu Fakulti Pertanian, Sains dan Teknologi.  - UPM

Tarikh Input: 09/08/2019 | Kemaskini: 09/08/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566636920