| Universiti Putra Malaysia

UPM tuan rumah perbincangan Dasar Penggunaan Tanah

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 30 Sept - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat (RTD) mengenai Dasar Penggunaan Tanah di Malaysia.

RTD bertujuan untuk membincang dan mendapat penyelesaian dalam pelbagai aspek penggunaan tanah untuk pertanian termasuk perincian polisi dan dasar penggunaan tanah selari dengan keperluan pengguna, kaedah penguatkuasaan dan impak pelaksanaan.

Ketua Kluster Pertanian dan Makanan MPN, Prof. Dr. Ghizan Saleh berkata program RTD merupakan saluran penting bagi pelbagai agensi awam dan swasta berbincang dalam menghasilkan beberapa resolusi yang boleh dijadikan panduan.

“Hasil resolusi boleh dijadikan sebagai panduan dalam pembentukan dasar-dasar pada masa akan datang agar bersesuaian dengan keperluan dan perubahan dalam kehidupan masyarakat sejagat.

“Negara kita belum mempunyai satu dasar yang menekankan kepentingan dalam melindungi tanah untuk aktiviti pertanian daripada diubah menjadi kawasan untuk aktiviti-aktiviti pembangunan seperti perumahan dan industri dapat diwujudkan.

“Melalui perbincangan meja bulat ini, kita dapat sama-sama berbincang serta mencapai resolusi yang dapat digunapakai untuk memperbaiki undang-undang tanah mahupun polisi tanah untuk kegunaan pertanian dan penghasilan makanan.

"Isu-isu lain yang turut dibincangkan ialah polisi dan strategi dalam penggunaan tanah untuk sektor agro makanan dan perladangan, perundangan, penambahbaikan pengeluaran pertanian lestari serta cabaran dalam pengendalian tanah pertanian pribumi,” katanya.



Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata RTD sangat penting diadakan agar pelbagai isu berbangkit dalam pelaksanaan dasar tanah pertanian negara dapat difikirkan bersama.

Katanya sebanyak 24% kawasan tanah di negara kita merupakan tanah yang digunakan untuk aktiviti pertanian termasuk penanaman padi, kelapa sawit, getah, buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Banyak kawasan pertanian ditukar kepada kawasan perumahan dan perindustrian.  Tanah sebegini adalah tanah yang subur untuk penanaman sayuran dan “cash crop”. 

“Sekiranya kawasan pertanian ini ditukar kepada perumahan, industri mahupun urbanisasi lain, masalah kekurangan bekalan makanan untuk kegunaan dalam negara dan eksport, tidak dapat dibendung,” katanya.

Antara topik yang dibincang selain skop guna tanah adalah isu tanah gambut untuk pertanian, penyahhutan, pencemaran air dan alam, kepupusan, kepelbagaian bio (biodiversity), penambakan tanah (land reclamation) serta isu tanah terbiar.


SXEXWA~