UPM Terima RM2 Juta Bangun Penyelidikan Sistem Pengimejan Sel Hidup | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM terima RM2 juta bangun penyelidikan sistem pengimejan sel hidup

UPM terima RM2 juta bangun penyelidikan sistem pengimejan sel hidup

Oleh Syifarida Muhamad Zaki


SERDANG, 21 jan – Institut Biosains (IBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima dana pembiayaan sebanyak RM2 juta daripada  Olympus Corporation (Olympus) untuk membangunkan kajian suite Pengimejan Sel Hidup berprestasi tinggi.

Penempatan sistem pengimejan berprestasi tinggi itu turut berkeupayaan membuat penyelidikan pembangunan vaksin dan terapeutik serta kanser dan sel stem di UPM.

Usahasama dengan Olympus selama dua tahun itu termasuk kos penyelenggaraan peralatan dan penempatan seorang pakar sepenuh masa.

 


Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata kerjasama itu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dalam menyumbang terhadap perkembangan penyelidikan sains hayat sejagat.

“Kerjasama pertama antara UPM dengan Olympus dalam bidang penyelidikan ini membuka peluang kepada saintis tempatan untuk membangunkan teknologi pengimejan sel hidup.

 

“Dengan kepakaran UPM dan sokongan Olympus, saya yakin UPM akan menjadi pusat penyelidikan bio pengimejan terunggul dalam masa terdekat,” katanya pada ucapan perasmian memorandum perjanjian (MoA) antara UPM dan Olympus di sini.

Pengarah Urusan Olympus Wilayah Asia Pasific, Kazuhiro Watanabe berkata pihaknya memilih UPM kerana yakin dengan kualiti penyelidikannya yang bertaraf dunia.

“UPM memiliki kemudahan makmal berteknologi tinggi dan kedudukannya yang strategik untuk menjadi salah sebuah pusat pembangunan penyelidikan di rantau Asia,” katanya.


Selain UPM, Olympus telah menempatkan sistem yang sama di Institut of Medical Biology (IMB), Singapore dan di Faculty Of Science, Mahidol University, Thailand.

IBS UPM akan menganjurkan kursus asas dan termaju pengimejan sel hidup bagi para pelajar ijazah lanjutan dan penyelidik dari UPM dan lain-lain institusi pengajian tinggi setempat yang bertujuan untuk memperluaskan aplikasi pengimejan sel hidup dalam penyelidikan.

Berita ini disediakan oleh Syifarida binti Muhamad Zaki, 0389466013 dan foto oleh Marina Ismail, 03-89466189


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569050841