| Universiti Putra Malaysia

UPM terima dana RM1 juta perkukuhkan kejuruteraan aeroangkasa

Oleh Khoirun Nisa Ahmad

Foto oleh Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 19 Jan – Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim menyumbangkan dana endowmen bernilai RM1 juta kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam inovasi bidang Kejuruteraan Aeroangkasa dan lain-lain bidang yang strategik.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata dengan adanya kerjasama itu memberi peluang kepada UPM untuk membina kerjasama yang sinergi dalam meningkatkan potensi dan inovasi dalam bidang berkenaan.

 

“Ini memperkukuhkan lagi hubungan universiti bersama industri dalam memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja kepada warga UPM malah kepada komuniti,” katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pemberian dana Endowmen Tan Sri Syed Ibrahim UPM.

 

Beliau berkata inisiatif rangkaian kerjasama itu selaras dengan pelaksanaan model pendekatan ‘Penta Helix’ yang diperkenalkan pada tahun 2018 di mana model itu mampu mendorong transformasi pendidikan tinggi ke arah kegemilangan dan kecemerlangan khususnya bagi UPM.

 

“Fokus Penta Helix adalah koloborasi bersama antara industri, masyarakat dan juga individu. Kita kata ia sangat fleksibel kerana manfaat bersama bila pelajar membuat tugasan dalam industri,” katanya dalam sidang media.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata dana itu bagi menjalinkan kerjasama rapat antara UPM dan syarikat penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara dalam bidang aeroangkasa dengan tujuan melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang itu.

 

“Weststar mahu melihat para graduan dididik dan dilatih dalam bidang penambahbaikan lebih 40 helikopter dalam tahun ini.

 

“Buat masa ini kita menggaji lima hingga tujuh jurutera bagi setiap pesawat, buat masa ini kita ada 200 jurutera dan ini tidak mencukupi.

 

“Pemberian dana ini adalah untuk sepuluh tahun tetapi UPM boleh memohon lagi peruntukan dana tambahan,” katanya.

 

Tan Sri Azman menyerahkan dana endowmen RM1 juta kepada Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris disaksikan Pro Canselor UPM, Tan Sri Nayan Ariffin; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Anuwar Ali; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Prof. Datuk Renuganth Varatharajoo; Penasihat Kewangan Kumpulan Weststar, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Datuk Mohd Saleh Jaafar. - UPM

WXETVA1~