UPM Terima Dana KPM RM100,000 Bagi Program Inkubator Keusahawanan PutraBiz@Vet | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM terima dana KPM RM100,000 bagi program Inkubator Keusahawanan PutraBiz@Vet

UPM terima dana KPM RM100,000 bagi program Inkubator Keusahawanan PutraBiz@Vet

Oleh Nur Jannah Ab Rahman
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 7 Mei (UPM) – Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat dana sebanyak RM 100,000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membiayai aktiviti dan latihan keusahawanan program Inkubator Keusahawanan PutraBiz@Vet.

Program ini bertujuan melahirkan usahawan pelajar Agro-Ladang selain membangunkan jaringan dan pangkalan data keusahawanan veterinar.

Antara usaha yang dilakukan ialah menyediakan ruang pusat operasi, memperkasakan projek perniagaan UPM seperti Putra Mart, Nurseri Komersil, Klinik dan Hotel Haiwan, meningkatkan aktiviti kelab MyAgrosis, memantapkan kursus keusahawanan pertanian dan program inkubasi usahawantani.



Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Mohd. Azmi Mohd Lila berkata UPM perlu memastikan setiap graduannya mencapai tahap kualiti yang telah ditetapkan oleh kementerian dan universiti.

“Saya percaya bahawa program ini dapat melahirkan usahawan veterinar yang mampu membina jenama perniagaan serta berdaya tahan menempuh cabaran realiti dunia perniagaan selain memiliki pemikiran kreatif dan kritis,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program.

Beliau berharap program yang memberi ilmu keusahawanan secara sistematik ini mampu melahirkan graduan yang akan memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya masa hadapan dan mengurangkan kebergantungan graduan kepada ‘kerja makan gaji’.



Dalam program yang sama, penyampaian Anugerah Usahawan Cemerlang Alumni Veterinar diberikan kepada pengamal veterinar persendirian berdaftar yang pertama di Malaysia dan Brunei, Dr. Ling Tung King; Ketua Eksekutif Syarikat Global Veterinary Sdn. Bhd., Dr. Nor Azam Bahari dan Pengarah Urusan Global Pets Sdn. Bhd., Dr. Tan Check Nam.

Pengiktirafan yang diberikan ini kerana sumbangan mereka dalam bidang keusahawanan veterinar di dalam dan luar negara.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566637483