| Universiti Putra Malaysia

UPM terima 205 pelajar baharu ambilan kedua Sesi Akademik 2022/2023

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar  

SERDANG, 10 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima 205 pelajar baharu ambilan kedua termasuk sembilan pelajar yang berada di Kampus Bintulu, Sarawak (UPMKB) telah diraikan dalam Majlis bersama Naib Canselor dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sesi Akademik 2022/2023 Minggu Perkasa Putra (Ambilan Kedua) di sini, hari ini.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata para pelajar perlu memanfaatkan persekitaran kepelbagaian di UPM untuk bersama-sama memelihara suasana harmoni di kampus hijau ini.

"Saya berharap para pelajar UPM agar memperkayakan pengalaman dan pendedahan anda dalam hal ehwal antarabangsa dengan bergiat aktif dalam sebarang aktiviti yang mempunyai jaringan antarabangsa seperti mobiliti, persidangan pelajar, latihan industri dan pelbagai lagi peluang lain.

"Kebolehpasaran seseorang pelajar di era global di mata majikan dan industri pada masa kini dipengaruhi oleh kemampuan skil kepelbagaian bahasa dan pengalaman pelajar di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, pelajar Bacelor Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Tong Kher Terk, 23 berkata UPM merupakan pilihan yang terbaik buat dirinya.

Beliau yang juga pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal berharap untuk melakukan yang terbaik sepanjang pengajian dan berjaya dengan cemerlang.- UPM

WXETLAq~