UPM Tawar Perkhidmatan Pusat Pengimejan Nuklear Untuk Kesan Kanser | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM tawar perkhidmatan pusat pengimejan nuklear untuk kesan kanser

UPM tawar perkhidmatan pusat pengimejan nuklear untuk kesan kanser

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Puan Marina Ismail



SERDANG, 3 Jun  (UPM) – Walaupun kanser adalah penyakit yang lazimnya menyerang organ manusia secara senyap, namun ia tidak boleh mengelak daripada dikesan oleh ahli radiologi dan doktor terlatih seperti yang terdapat di Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear  (PPDN) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ini kerana pusat itu dilengkapi mesin PET-CT paling canggih yang membolehkan mereka melihat secara 3-D potongan rentas bahagian tubuh seseorang manusia, dari kepala hingga ke kaki.

Melalui pengamatan deria penglihatan yang dibantu oleh pangkalan data, mereka boleh mengesan sebarang perubahan serta aktiviti sel tidak normal dan memaklumkan kepada anda pada kadar ketepatan paling tinggi yang mungkin dialami sesuatu organ, kata ketua PPDN, Prof Dr Abdul Jalil Nordin pada taklimat dan lawatan media di sini hari ini.



Beliau berkata imbasan tubuh tak invasif menggunakan mesin PET-CT membolehkan doktor melakukan zum masuk ketika melakukan biopsy dengan menggunakan panduan PET-CT pada tempat yang bermasalah bagi menentukan sama ada ia berkanser dan perlu diberi rawatan awal (sila rujuk www.ppdn.upm.edu.my).

“Seperti penyakit lain, pengesanan dan rawatan awal merupakan langkah pengubatan yang lebih berkesan,” katanya ketika memperkenalkan kemudahan tersebut kepada media di Fakulti Perubatan dan Satins Kesihatan UPM.

Penubuhan PPDN dicadangkan dalam tempoh rancangan Malaysia Kesembilan pada 2008 dan pada 1 April 2010, ia mula beroperasi setelah kelengkapan PET-CT pertama dipasang di bawah program Kementerian Pengajian Tinggi ketika itu bagi tujuan diagnostik, latihan dan penyelidikan.

Sejak mula dibuka, pusat ini telah mengimbas kira-kira 500 pesakit dan kini ia juga menyediakan perkhidmatan klinikal mengenai onkologi, jangkitan, keradangan, kardiologi dan neurologi.

Apa yang membezakan PPDN dengan tempat rawatan lain ialah ia merupakan pusat sehenti di mana peranti perubatan paling canggih seperti Magnetic Resonance (MR) and Hybrid Modalities (PET-CT, molecular-MR and SPECT-CT) yang membolehkannya membuat pengesanan awal terhadap penyakit, memantau rawatan dan memberi rawatan susulan.

Bayaran yang dikenakan, bergantung pada jenis perkhidmatan yang diperlukan, adalah daripada serendah RM80 hingga RM2,000 untuk imbasan PET-CT seluruh tubuh, jauh lebih rendah daripada kadar yang dikenakan oleh sembilan hospital swasta lain yang menggunakan kelengkapan PET-CT serupa di negara ini.



Prof Dr Jalil bagaimanapun berkata PPDN hanya menerima pesakit yang dirujuk kepadanya oleh doktor lain, manakala tempoh menunggu bagi mendapatkan janji temu untuk PET-CT selalunya kurang dari seminggu dan keputusan, berserta laporan rasmi dan imej, dikeluarkan dalam masa 24 jam.

Dengan penyediaan bilik khas untuk berehat sebelum dan selepas sesi pengimejan PET- CT, pesakit dan saudara mara terdekat mereka boleh mendapatkan perundingan percuma tentang dapatan PET-CT yang dilakukan.

PPDN terbahagi kepada dua unit utama – klinikal dan pra-klinikal & teknikal – dengan setiap unit dibahagikan pula kepada empat bahagian iaitu Pengimejan Onkologi, Pengimejan Jangkitan/Keradangan, Pengimejan Kardiovaskular dan Pengimejan Neurologi.

“Unit Perkhidmatan Klinikal mempunyai pakar perubatan dalam bidang pengimejan diagnostik (ahli radiologi), pakar onkologi klinikal, pakar mikrobiologi, ahli patologi, pakar kardiologi, pakar neurologi dan pakar bedah.

“Unit Pra-Klinikal dan Unit Teknikal menyelaras aktiviti selain perubatan klinikal,” kata doktor perubatan itu, yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1989  sebelum memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Radiologi daripada Universiti Malaya pada 1996. Beliau memperoleh Fellowship dalam Bidang Perubatan Nuklear daripada University of Sydney (Westmead Hospital) pada 1997 dan Fellowship dalam bidang PET-CT daripada University of Zurich pada 2008.

PPDN diiktiraf dan diberi akreditasi melalui rangkaian kerjasamanya dengan institusi antarabangsa yang mempunyai kepakaran dalam bidang PET-CT dan MRI, termasuk  University of Milan Bicocca and Ospedale Niguarda, Itali; Medical University of Innsbruck. Austria; University Medical Centre Groningen, Netherlands; University Hospital Zurich, Switzerland dan Peter McCallum Cancer Centre of Melbourne, Australia.

Prof Dr Jalil berkata melalui penyelidikan yang dilakukan, mereka mendapati terdapat hubungan rapat antara Chronic  Diabetes Mellitus (CDM) dan peredaran arteri koronari.

“Dalam tempoh terdekat, pusat ini akan memulakan perkhidmatan pengimejan mengesan bukan FDG (atau isotop) dan projek pembangunan baharu mengenai ubat-ubatan dan pengesanan, yang melibatkan saintis daripada pelbagai disiplin,” katanya sambil menjelaskan bahawa mereka akan terus melatih kakitangan perubatan dan teknikal serta jururawat dalam pengimejan diagnostik nuklear.

Ditanya sama ada beliau ingin menasihati orang ramai supaya turut mendapatkan PET-CT apabila melakukan pemeriksaan perubatan berkala masing-masing, Prof Dr Jalil  berkata beliau mengesyorkan mereka yang mempunyai keluarga yang memiliki sejarah kanser supaya berbuat demikian.

“Imbasan PET-CT mempunyai darjah ketepatan paling tinggi dan berkesan dari segi kos secara jangka panjang sekiranya seseorang itu perlu mendapatkan pelbagai ujian,” katanya . – UPM/kgo/sp


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568815219