| Universiti Putra Malaysia

UPM tandatangan MoU bersama The University of Surrey, United Kingdom galak aktiviti penyelidikan bersama

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 25 MeiUniversiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan The University of Surrey, United Kingdom dalam rangka kerja menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang pengajian akademik dan aktiviti kolaborasi penyelidikan yang melibatkan program pertukaran staf dan pelajar.

MoU ini menggalakkan kedua-dua pihak menjalankan aktiviti penyelidikan secara bersama dan menawarkan program jointly awarded, program dual Masters dan PhD serta aktiviti-aktiviti berkaitan pengajian tinggi yang lain.

Majlis menandatangani MoU ini telah disaksikan oleh YB Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, YH. Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Presiden  The University of Surrey, Prof G.Q. Max Lu.

Turut hadir, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBrs. Dr. Mohd Zabri Yusoff.

MoU ini dibuat ketika UPM mengikuti lawatan rasmi ke United Kingdom bagi mewakili Malaysia ke Persidangan Education World Forum 2022 yang berlangsung antara 22 sehingga 25 Mei 2022 di Wesminster, London yang turut disertai oleh delegasi KPT serta Naib Canselor Universiti Awam.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman juga bertemu beberapa pemegang taruh berpotensi bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan UPM melalui kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Pejabat Education Malaysia London, pengurusan University of Portsmouth serta sesi diskusi bersama rakan-rakan akademia (pensyarah dan penyelidik) Malaysia di London.

Rangka lawatan ini adalah sebahagian usaha UPM merealisasikan Pelan Strategik UPM 2021 - 2025 Matlamat 1: Melahirkan watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan Matlamat 3 Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.

WXEUBAy~