| Universiti Putra Malaysia

UPM tanam 100 Pokok Gutta Percha sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohd Sabri Omar


SERDANG, 17 Mei - 26 pelajar sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil bahagian menanam 100 anak pokok Gutta Percha Bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022 di Bukit Ekspo, Pusat Pertanian Putra (PPP) di sini hari ini.

Timbalan Pengarah PPP UPM, Professor Madya Dr. Mohd Hezmee Mohd Noor berkata penanaman pokok tersebut dilakukan serentak di 23 lokasi terpilih di Malaysia serta menyokong inisiatif Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menjelang 2025.

“Pada hari ini sebanyak 5,017 pokok jenis ini ditanam di 23 lokasi terpilih sekali gus disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBR) hari ini.

"Menariknya pokok Gutta Percha ini telah digunakan sebagai bahan penebat untuk kabel dasar laut pertama di dunia yang boleh didapati daripada pokok ini," katanya.

Tumbuhan itu jenis kayu keras ringan yang sesuai untuk penghasilan hiasan dalaman dan panel, daunnya berwarna hijau kekuningan atau berkarat dengan urat-urat daun berwarna tembaga, manakala bunga berwarna putih bersaiz kecil.

Program penanaman pokok Gutta Percha terbanyak ini merupakan anjuran Yayasan Telekom Malaysia dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) bagi meningkatkan kesedaran mengenai sejarah telekomunikasi negara serta menjadi pokok warisan di negara ini.

Hadir sama wakil Yayasan Telekom Malaysia Siti Hajar Shafii. - UPM

SXESQAp~