UPM Rintis Penyelidikan Guna Tumbuhan Untuk Aplikasi Aeroangkasa, Automotif | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM rintis penyelidikan guna tumbuhan untuk aplikasi Aeroangkasa, Automotif

UPM rintis penyelidikan guna tumbuhan untuk aplikasi Aeroangkasa, Automotif

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 7 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) merintis penyelidikan menggunakan bahan tumbuhan untuk menghasilkan bio-sumber komposit hibrid untuk aplikasi aeroangkasa dan automotif.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata antara bahan tumbuhan yang digunakan adalah kenaf dan nanas.

“Kenaf adalah tanaman komoditi ketujuh di Malaysia dan gentiannya diperkenalkan pada tahun 2010 manakala gentian nanas telah sedia dalam bentuk biojisim.

“Kedua-dua gentian ini mengandungi polimer-polimer berasaskan petroleum yang bertindak sebagai pengikat, memberi nilai kekuatan yang diperlukan dalam pembuatan komposit.

“Komposit yang berprestasi tinggi yang dihasilkan daripada bahan-bahan bio- sumber ini selari dengan keadaan semasa global iaitu ke arah persekitaran yang lebih bersih dan hijau,” katanya.

Kajian itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dan Universiti Nottingham Kampus Malaysia (UNMC) bagi penggunaan teknologi robotik untuk proses pengeluaran dan pengujian bahan komposit.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi memeterai memorandum persefahaman itu bagi pihak UPM manakala AMIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Kamar Abu Samah.

UPM berperanan mengenalpasti tumbuhan yang berpotensi digunakan bagi memastikan ia mempunyai ciri ketahanan sama seperti gentian sintetik termasuk kalis api dan kalis asap.

Beliau berkata, penghasilan komponen bahagian dalam pesawat adalah antara produk yang akan dihasilkan menerusi penyelidikan yang dijangka lengkap menjelang tahun 2018. Ia perlu menjalani proses pengujian lanjut bagi memastikan ciri keselamatannya menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh industri penerbangan.

Geran berjumlah RM1.05 juta disumbangkan secara bersama oleh ketiga-tiga pihak dalam bentuk dana serta barangan jentera bagi menjayakan penyelidikan yang akan mengambil tempoh selama tiga tahun itu.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi UPM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Ing. Ir.Renuganth Varatharajoo dan Ketua Jabatan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan UNMC, Prof. Dr. Haider Abbas Murib.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566716196