Oleh Azman Zakaria
SEOUL - Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi 'Order of Merit: Best Invention for Children' pada '2014 World Inventor Award Festival' (WIAF) di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Dr Mohamad Fazli Sabri dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Pusat Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak(FACE) fakulti yang sama Nurhayatul Nira Ramli, menerima sijil, medal dan trofi pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusi, Presiden Suruhanjaya WIAF Korea Invention News (KINEWS), Soung-Mo Hong.
Kejayaan itu adalah hasil inovasi ‘Smart Money Kit : Bright Kid Smart Money’ iaitu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa dan para pendidik berkaitan amalan pengurusan kewangan yang bijak dan berhemah.
Kit ini adalah program pendidikan kewangan yang disasarkan kepada kumpulan kanak-kanak berumur antara 6 dan 12 tahun untuk mendidik mereka mengenai kepentingan wang dan pengurusan wang dalam kehidupan.
Tinjauan kajian literatur menunjukkan bahawa sekiranya kanak-kanak didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan di awal usia, ia memberi kesan positif kepada amalan pengurusan kewangan apabila mereka dewasa.
Kelebihan produk ini adalah ia direkabentuk sesuai untuk kegunaan tempatan dan antarabangsa. Ia adalah kit pendidikan yang komprehensif kerana mengandungi enam unit asas mengenai pendidikan kewangan iaitu mari kenal wang, matlamat kewangan, keperluan melawan kehendak, simpanan, belanja dan bajet, serta konsep asas perbankan Islam. Kaedah 'belajar sambil bermain' serta aktiviti santai mengikut perkembangan umur juga adalah kelebihan produk ini.
Dr Mohamad Fazli berkata pengiktirafan itu menunjukkan bahawa hasil inovasi penyelidik tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia sahaja malah juga memberi sumbangan yang signifikan kepada masyarakat antarabangsa.
"Pengiktirafan ini membuka ruang dan peluang produk tempatan ke arena antarabangsa," katanya. Dr Mohamad Fazli kini giat menjalankan penyelidikan dalam bidang kewangan pengguna, kepenggunaan dan pendidikan kewangan dari peringkat kanak-kanak sehingga warga tua bersama Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Ini adalah kali pertama UPM memenangi 'Order of Merit' itu. Menurut KINEWS pertandingan itu bertujuan untuk mengiktiraf pereka cipta, sekali gus membuka ruang dan peluang bagi mereka melalui WIAF apabila kerjaya mereka dalam dalam bidang reka cipta boleh mendapat pengiktirafan tinggi 'World Inventor Order of Merit.
'Turut hadir pada majlis itu ialah Dr. Unchalee Sanguanpong dari Thailand, Andi Dwi Putra dari Indonesia, Dr. Patrick Lok, David Chong dan Profesor Madya Mustafa Man dari Malaysia, Puan Glorlita Endico dari Filipina, Prof. Farouk Gad dari Jerman, Cik Quyen dari Vietnam serta Cik Charuni Wijerathne dari SriLanka.
Sehingga kini ‘Smart Money Kit: Bright Kid Smart Money’ sudah menyertai tujuh pertandingan inovasi tempatan dan antarabangsa, dengan merangkul tujuh pingat dan dua anugerah terbaik iaitu The Best KASS Individual Invention Award pada Pameran Antarabangsa Rekacipta, Inovasi dan Teknologi 2014 (ITEX 2014), dan Anugerah Berlian dalam Kategori Profesional di Artikulasi Rekacipta dan Rekabentuk kedua (i-IdeA2014), UiTM Perlis, yang turut membawa pulang wang tunai RM5,000.
Produk ini juga telah berjaya memenangi pingat perak dalam Pameran Teknologi Inovasi dan Rekacipta Malaysia (MTE) 2014 dan Pameran Penyelidikan, Rekacipta dan Inovasi Antarabangsa (IRIIE) 2014 Universiti Islam Antarabangsa serta gangsa kategori Terbuka: Sains Sosial pada Ekspo Inovasi Islam keempat (i-Inova 2013) anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Tarikh Input: | Kemaskini: | rina
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA