UPM RAIH 41 TERBAIK DUNIA UI-GREENMETRIC WORLD UNIVERSITY RANKING | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM RAIH 41 TERBAIK DUNIA UI-GREENMETRIC WORLD UNIVERSITY RANKING

UPM RAIH 41 TERBAIK DUNIA UI-GREENMETRIC WORLD UNIVERSITY RANKING

Oleh Abdullah Arshad



SERDANG, 19 Januari 2015 - Universiti Putra Malaysia (UPM) tersenarai pada kedudukan ke-41 terbaik di dunia berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking yang diterbitkan baru-baru ini.

Initiatif penarafan yang diterajui oleh Universitas Indonesia itu berjaya menarik perhatian 360 universiti daripada 62 negara berbanding dengan 301 daripada 61 negara pada tahun lalu.

Penarafan kelestarian alam sekitar ini mempunyai lebih daripada 40 indikator yang meliputi 6 skop utama,  iaitu infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan cuaca (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%).

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan mengulas kejayaan itu merupakan komitmen UPM terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.



“UPM mencatatkan peningkatan terutamanya dalam indikator pengangkutan dan infrastruktur  seperti saiz dan infrastruktur keluasan kawasan hijau selain penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus.

“UI-GreenMetric turut menyenaraikan 5 universiti terbaik di dunia dalam penarafan tersebut iaitu University of Nottingham, University College Cork National University of Ireland, Nottingham Trent University, University of California Davis dan University of Oxford.

“UPM merupakan universiti ke-3 terbaik di rantau Asia Tenggara dan ke-4 terbaik Asia dalam kajian penandaarasan kelestarian antarabangsa mengikut penarafan itu di mana universiti di Asia didahului oleh National University of Singapore, National Pingtung University of Science & Technology dan Chulalongkorn University,” katanya.

Buat tahun kelima berturut-turut, UPM mengetuai universiti di Malaysia dalam penarafan tersebut iaitu Universiti Malaya pada kedudukan ke-72 dunia, Universiti Teknologi Malaysia (86), Universiti Tunku Abdul Rahman (93), Universiti Kebangsaan Malaysia (118), Universiti Sains Islam Malaysia (235), Universiti Malaysia Sabah (244).

Pada tahun ini sebanyak tujuh buah universiti tempatan menyertai penarafan UI-GreenMetric berbanding empat pada tahun lalu.

Untuk maklumat lanjut, laporan pencapaian UI GreenMetric World University University Ranking boleh dirujuk melalui : http://greenmetric.ui.ac.id//ranking

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566717497