| Universiti Putra Malaysia

UPM raih 41 emas, 19 perak, 21 gangsa di SUKIPT 2016


Oleh: Azman Zakaria

SKUDAI,  5 Feb -  Kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) mengumpul 41 pingat emas, 19 perak dan 21 gangsa, sekali gus menduduki tempat kedua keseluruhan pada kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2016.

Sebanyak 117 kontinjen termasuk dari beberapa negara ASEAN menyertai kejohanan edisi ketiga itu yang berlangsung dari 25 Januari hingga 5 Februari, di  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Olahraga menyumbang pingat emas terbanyak untuk UPM iaitu 16, diikuti memanah (lima), lawan pedang (tiga), judo (tiga), karate (tiga), tenpin bowling (dua), taekwondo (dua), hoki (dua), dan masing-masing satu dari bola jaring, ragbi, sepaktakraw, catur dan skuasy.

Emas acara olahraga dimenangi oleh Mohamad Alif Hanif Mohd Afandi (lontar peluru lelaki), Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita), Chuah Yu Tian (lompat bergalah wanita), Pua Ling En (jalan kaki 5000 meter wanita), Muhd Ajmal Aiman Mat Hasan (lompat pagar 110 meter lelaki), Zaidatul Husniah Zulkifli  (100 meter wanita), Anchois Aron (400 meter lelaki).

Muhamad Khairil Harith Harun (jalan kaki 10000 meter lelaki), Bibi Nuraishah Ishak (lontar peluru wanita), lari berganti-ganti 4x100 meter lelaki, lari berganti-ganti 4x100 meter wanita, Muhammad Hakimi (lompat kijang lelaki), Zaidatul Husniah Zulkifli (200 meter  wanita), Ahmad Luth Hamizan (lari berhalangan 3000 meter lelaki), lari berganti-ganti 4x400 meter lelaki, dan lari berganti-ganti 4x400 meter wanita.

Emas memanah pula diraih melalui Nur Atiqah Azizi, Fairuz SM Rahim, pasukan Recurve berpasukan wanita, pasukan Compound berpasukan wanita, dan pasukan Compound berpasukan campuran.

Tiga butir pingat emas acara lawan pedang diperoleh menerusi  Nadzirah Mohd Adzeman kategori perseorangan wanita (Epee), Muhammad Aqil Anuar perseorangan Lelaki (Foil), dan Natasha Ezzra Abu Bakar perseorangan wanita (Foil).

Emas acara judo pula dituai melalui Muhamad Jafaraannuar Jamaludin (bawah 55 kg lelaki), Muhamad Ruzaini Abdul Razak (atas 100 kg lelaki), dan Chong Wei Fu (bawah 66 kg lelaki).

Karate turut menyumbang tiga emas melalui Teagarajan Kunasakaran dalam acara individu Kumite (bawah 84 kg, lelaki), Devaraj Venkatesan acara individu Kumite (atas 84 kg, lelaki), dan Shree Sharmini Segaran  acara inidividu Kumite (bawah 68kg, wanita).

Tenpin Bowling menuai dua emas melalui Siti Aishatun Hussin dalam kategori perseorangan wanita, serta beregu wanita melalui gandingan Siti Aishatun dan Radin Nur Najwa Radin Dzulfakar. Taekowondo menyumbang dua emas melalui acara bantam lelaki dan acara fly lelaki.

UPM turut mengungguli acara hoki apabila memenangi emas hoki lelaki dan wanita.

Pasukan ragbi pula terus unggul mempertahankan pingat emas, tatkala sepak takraw dan bola jaring juga menyumbang emas. 

Catur menuai emas melalui Law Tze Hong dalam acara lelaki, manakala emas acara skuasy lelaki disumbang oleh Yuen Chee Wern. – UPM.


SXEXRA1~