UPM Mula Mengorak Langkah Galak Penduduk Bandar Bertani Besar-besaran | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM mula mengorak langkah galak penduduk bandar bertani besar-besaran

UPM mula mengorak langkah galak penduduk bandar bertani besar-besaran

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan



PASIR GUDANG, 17 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) mula mengorak langkah  bagi menggalakkan penduduk bandar bertani secara besar-besaran di bawah Program Transformasi Pertanian Bandaran yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Laman Rekreasi Sungai Buluh, Pasir Gudang, Johor, hari ini.

Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata melalui program itu warga bandar turut memperolehi manfaat dan menyemarakkan semula pertanian di bandar dengan menggunakan pendekatan moden bersesuaian dengan persekitaran di rumah.

“Program ini merupakan jalinan komuniti yang dilaksanakan oleh UPM melalui nasihat serta perkongsian ilmu dari pakar UPM bersama kumpulan sasar di kawasan yang dipilih merangkumi pelbagai disiplin serta teknologi pertanian,” katanya pada majlis pelancaran Program Transformasi Pertanian Bandaran Bersama UPM di sini.



Turut hadir ialah Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan serta pensyarah, penyelidik dan lain-lain pakar UPM yang terlibat dalam program pertanian bandaran yang diterajui oleh UPM.

Kira-kira seramai 300 orang menghadiri program sepanjang hari itu yang julung kali diadakan oleh UPM.  Antara aktiviti yang menarik perhatian mereka ialah kaedah bertani di bandar secara besar-besaran dengan menggunakan kegunaan teknologi hidroponik, klinik pakar pertanian dan haiwan serta Klinik Kesihatan, cara membuat baja kompos daripada sisa organik dapur dan demonstrasi penanaman cendawan.

Prof Datuk Dr Mohd Fauzi berkata program itu merupakan komitmen UPM untuk  menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur dalam fungsi pengembangan kepada masyarakat bandar berasaskan niche pertanian UPM.

“Sebagai institusi yang bermula dengan menyelidik dan menyebarkan ilmu pertanian, adalah wajar UPM mengembalikan kecemerlangan sektor pertanian dan penerokaan bidang dan ilmu yang baharu,” katanya.

Beliau juga berkata UPM turut memperkenalkan ‘Klinik Pertanian Bergerak’ untuk mendekati masyarakat secara terus di lapangan.

“Klinik pertanian bergerak itu dilengkapi dengan makmal mini diagnosis, ruang bahan bacaan, rujukan perbincangan pakar, ruang pameran dan bahan rujukan serta peralatan visual untuk maklumat komuniti,” katanya.

Tambah beliau, dengan adanya Klinik Pertanian bergerak itu, hasil penyelidikan dan teknologi terkini universiti boleh dikongsi bersama dengan cepat. -- UPM

-- upm/nej/kgo/kam


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568813617