| Universiti Putra Malaysia

UPM, MTIB anjur Seminar Keusahawanan Perkayuan dan Ukiran Kayu Bumiputera Dalam Era Pasca-Pandemik 2022 Kongsi Kepakaran Bantu Usahawan Sektor Perkayuan

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 8 Jun – Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menganjurkan Seminar Keusahawanan Perkayuan dan Ukiran Kayu Bumiputera Dalam Era Pasca-Pandemik 2022 bagi berkongsi kepakaran dan membantu usahawan sektor perkayuan.

Naib Canselor UPM, YH. Prof. Dato' Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata UPM sentiasa bersedia untuk membantu para usahawan sektor perkayuan Bumiputera untuk menyerlahkan potensi dan prestasi mereka.

“UPM mempunyai kepakaran di Jabatan Industri Kayu dan Gentian, FPAS yang berpengalaman bukan hanya dalam bidang keusahawanan malah dalam pelbagai aspek industri perkayuan dan gentian yang saya pasti akan memberi manfaat kepada para usahawan perkayuan,” katanya.

Tambah beliau, perkongsian ilmu dan kepakaran dapat merancakkan ekosistem kerjasama yang memberikan pulangan bermanfaat kepada semua pihak.

“Matlamat seminar ini adalah untuk menyebarluaskan maklumat terkini pencapaian usahawan Bumiputera dalam sektor perkayuan dan ukiran serta mengupas isu dihadapi dan merangka tindakan penambahbaikan untuk pembangunan keusahawanan dalam industri ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Dekan, FPAS, UPM, Prof. Dr. Hazandy Abdul Hamid.

Ketua Pengarah MTIB, Tn. Hj. Mahpar Atan berkata penganjuran seminar itu diharapkan dapat dimanfaatkan oleh para peserta serta dapat membuahkan hasil yang positif demi kepentingan industri perkayuan termasuklah ukiran kayu yang amat sinonim dengan usahawan Bumiputera.

“Saya MTIB melalui Bahagian Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera telah melaksanakan pelbagai program, aktiviti dan menyediakan insentif dalam usaha untuk meningkatkan Bumiputera di dalam industri perkayuan negara,” katanya. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), MTIB, Tn. Hj. Kamaruzaman Othman dan Ketua Jabatan Industri Kayu dan Gentian, FPAS, UPM, Prof. Dr. Jegatheswaran Ratnasingam.

Selain itu, Tn. Hj. Mahpar Atan turut melancarkan buku bertajuk “Apresasi Buku Keusahawan” yang diterbitkan oleh UPM dengan kerjasama MTIB.

Seminar itu adalah kesinambungan daripada program keusahawanan Bumiputera dalam sektor perkayuan sejak tahun 2018 oleh Jabatan Industri Kayu dan Gentian, FPAS bersama rakan strategik yang lain. - UPM

WXETWAR~