| Universiti Putra Malaysia

UPM-Mitsubishi Corporation terus komited anjur Jubli Perak penanaman anak pokok


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 19 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Mitsubishi Corporation terus komited menganjurkan program Jubli Perak (tahun ke-25) penanaman 5,000 anak pokok hutan dalam usaha memulihara kehijauan flora.

Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata inisiatif UPM mengadakan program itu sejajar dengan keperluan iklim negara yang memerlukan banyak pokok bagi mengurangkan kesan cuaca panas di negara ini.

“Saya berharap menerusi program ini akan membantu memulihkan fungsi ekologi serta akan memulihara semula hutan hujan tropika yang semakin berkurangan untuk generasi masa hadapan,” katanya semasa merasmikan program 25th Silver Jubilee UPM-Mitsubishi Corporation Tree Planting Ceremony di sini.

Turut hadir Pengurus Besar Cawangan Mitsubishi Corporation Kuala Lumpur, Mr Kenji Ohta, dan Timbalan Pengurus Besar, Mitsubishi Corporation Japan, Mr. Daisuke Tsurumi.



Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata sepanjang 25 tahun yang lalu, program ini telah melibatkan sekurang-kurangnya 10,000 peserta dalam program penanaman pokok tahunan.

“Ini adalah komitmen UPM untuk memelihara dan memulihara pokok hutan serta untuk kegunaan pelajar UPM untuk menjalankan kajian saintifik mereka di lokasi tersebut. Program ini juga adalah platform untuk memupuk kesedaran alam sekitar di kalangan pelajar dan staf UPM dan masyarakat,” katanya.

Sebanyak 20 anak pokok hutan yang tersenarai dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) turut ditanam, antaranya balau tembaga, balau pasir, glam lintah bukit, keruling kertas, keruing latek, meranti kepong hantu, meranti damar hitam, meranti tengkawang air, meranti seraya daun besar dan mersawa gajah.

Seramai 400 sukarelawan dari Mitsubishi Corporation, Jepun, pensyarah serta pelajar UPM mengambil bahagian dalam program tersebut dengan menanam pokok hutan di kawasan Forestry Arboretum, Ladang 16, UPM.

Sebelum itu, perintis model konsep hutan yang dibangunkan di Serdang berdasarkan concept of vegetarian association yang diperkenalkan oleh Prof. Dr. Akira Miyawaki dari Yokohama National University (YNU) digabungkan dengan concept accelerating natural vegetation oleh Felo Penyelidik Utama, Laboratori Pengurusan Biosumber Mampan (BIOREM), Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), UPM, Dato’ Prof. Dr. Nik Muhamad Abd Majid. - UPM


WXETLAv~