| Universiti Putra Malaysia

UPM menang dua hadiah Anugerah MOHE Entrepreneurial Awards (MEA)


KUALA LUMPUR, 5 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi dua hadiah MOHE Entrepreneurial Awards (MEA) 2012 edisi pertama iaitu kategori universiti Entrepreneurial Impact dan kategori pelajar Best Student Enterprise, dengan menewaskan lima finalis Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.

Kemenangan itu melayakkan UPM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50 ribu (Entrepreneurial Impact) dan RM20 ribu (Best Student Enterprise), selain trofi dan sijil penghargaan. UPM merupakan satu-satunya IPTA  yang memenangi dua kategori.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir Dr. Mohd Saleh Jaafar dan pelajar Fakulti Pertanian UPM , Mohd Afiq Ariff, Wan Mohamad Fazdli Hussaini Wan Mohamad Yusoff dan Muhd Nur As Shabah Mohamed menerima hadiah kategori masing-masing daripada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di sini sempena majlis penganugerahan MOHE Entrepreneurial University of the Year Award 2012.



Prof. Dato’ Ir Dr. Mohd Saleh ketika mengulas kemenangan berkata kekuatan UPM ialah membudayakan keusahawanan dalam pelbagai aspek kehidupan pelajar dengan disokong oleh Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar (CEISeD), Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) dan penyelidikan oleh institute dan fakulti.

Mohd Afiq Ariff berkata projek ternakan ikan tilapia merah dalam sangkar oleh kumpulan pelajar mereka yang diternak selama 6 bulan berjaya menambat hati juri.

Selain kategori keseluruhan bernilai RM150,000 yang dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu mempertandingkan lima kategori lain iaitu Innovative Entrepreneurial Teaching and Learning, Innovative and Entrepreneurial Staff, Entrepreneurial Impact, Student Engagement dan Institutional Environment, setiap satu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, trofi dan sijil penghargaan serta anugerah Best Student (Enterprise/Business Startup).

Pertandingan anugerah keusahawanan itu yang dibuka khusus untuk institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan telah dijalankan sejak bulan Ogos lalu di mana keusahawanan merupakan projek agenda kritikal Pelan Strategik Negara.

MEA edisi pertama merupakan satu usaha kerajaan menggalakkan semua IPTA memberikan tumpuan terhadap aspek pembangunan keusahawan dan memberikan galakan kepada penuntut mereka memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama.



Pertandingan itu juga menjadi medan kepada pembangunan pendidikan keusahawanan di IPTA dan mengiktiraf IPTA yang menunjukkan kesungguhan dan kecemerlangan pembangunan keusahawanan di institut masing-masing.

Universiti lain yang menjadi finalis ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Datin Paduka Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM,  Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan.

Berita ini disediakan oleh Khairul Anuar and Muhamad Najkhan,03-89467469 dan foto oleh Marina Ismail, 03-89468985


WXDdOAg~