| Universiti Putra Malaysia

UPM menang APUCEN International Youth Volunteer Award 2017

 

PULAU PINANG, 20 April – Projek Vermikompos Sisa Sayuran di Pasar Besar Melaka Sentral oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Asia-Pacific University - Community Engagement Network (APUCEN) International Youth Volunteer Award (Kategori Alam Sekitar) pada APUCEN SUMMIT 2017.

Projek itu menewaskan 10 projek dalam kategori yang sama pada pertandingan berkenaan untuk menerima wang tunai AS$3,000 dan plak daripada APUCEN yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh. 

Anggota kumpulan projek itu ialah Prof. Dr Azni Idris dari Fakulti Kejuruteraan, Dr. Wan Azlina Wan Abd Karim Ghani, Dr. Tinia Idaty Mohd Ghazi dan Dr. Nor Azwady Abdul Aziz.

Projek itu dilaksanakan melalui kerjasama UPM dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). 

Ia dibiayai Kementerian Pengajian Tinggi dan PEMANDU Jabatan Perdana Menteri dan telah diserah milik kepada Dato Bandar Melaka pada September 2016 setelah  operasinya tamat selepas 24 bulan.

Projek itu melibatkan ramai lepasan siswazah dan sebuah syarikat alam sekitar Pakar Go Green Sdn. Bhd. secara kerjasama komuniti dengan memberi impak pengurangan sisa sayuran di pasar sehingga 60 peratus.

Kaedah projek itu menggunakan cacing sepenuhnya untuk menukar sisa menjadi hasil baja. Selain daripada pencapaian kelestarian yang jelas, sisa sayur telah menjadi baja bio sepenuhnya yang dapat memberi pulangan kepada MBMB.   

APUCEN adalah rangkaian institusi akademik di rantau ini yang menjalankan aktiviti komuniti melibatkan universiti. - UPM

WXDcVAb~