UPM Menang Anugerah Harta Intelek Negara Struktur Organisasi 2012 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM Menang Anugerah Harta Intelek Negara Struktur Organisasi 2012

UPM Menang Anugerah Harta Intelek Negara Struktur Organisasi 2012


KUANTAN, 28 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Anugerah Harta Intelek Negara 2012 bagi kategori organisasi (kerajaan dan swasta) dengan membolot hadiah wang tunai RM30 ribu dan piala serta mengulangi sejarah memenangi anugerah yang sama pada tahun 2008.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob pada majlis anugerah Harta Intelek Negara 2012 di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC), Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Hari Harta Intelek Negara bertemakan ‘Harta Intelek Pemacu Transformasi’ anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah program untuk membawa nilai ekonomi negara ke tahap lebih baik.



Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata kemenangan UPM kerana harta intelek UPM telah difailkan di MyIPO pada tahun 2011 sebanyak 49 paten dan pemfailan di luar negara sehingga 2011 sebanyak 144 paten.

“Pengkomersialan hasil penyelidikan pada tahun 2011 melibatkan bilangan perlesenan 48 IP/produk dengan hasil pendapatan RM32.3 juta,” katanya selepas menerima anugerah itu.



Beliau berkata selain itu, pemilihan UPM disumbangkan oleh dana penyelidikan sebanyak RM110.27 juta dan kemenangan penyelidikan UPM pada pameran Malaysia Technology Expo (MTE), International Invention, Innovation & Technology (ITEX), Persidangan & Ekspo Ciptaan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa (PENCIPTA) dan BioMalaysia pada tahun lalu.

Anugerah Harta Intelek Negara merupakan pengiktirafan kepada perekacipta, pencipta serta organisasi atas sumbangan harta intelek mereka dalam kemajuan ekonomi dan sosio-budaya negara.

Berita ini disediakan oleh Noor Eszeeren Juferi 03-8946 8985 dan foto oleh Marina Ismail 03-8946 6199 (Pejabat Pemasaran dan Komunikasi, UPM)


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569094335