| Universiti Putra Malaysia

UPM, MBI tandatangan Memorandum Perjanjian penubuhan Kursi MB Selangor

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Marina Ismail

SERDANG, 1 Nov - Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia UPM dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mewujudkan Kursi Profesor yang dikenali sebagai Kursi Menteri Besar Selangor (Kursi MB Selangor).

UPM turut menerima endowmen berjumlah RM5 juta daripada MBI.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengwujudan Kursi MB Selangor di SPE, UPM adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan pengajian tinggi di Selangor. 

“Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan Kursi Profesor dalam bidang pendidikan literasi pentadbiran perniagaan, keusahawanan dan ekonomi bagi menerajui pendidikan serta penyelidikan khusus dalam bidang ekonomi, perniagaan, kewangan dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, melalui penubuhan Kursi Profesor itu, penyandang Kursi akan dilantik daripada kalangan pakar yang tersohor yang akan bekerjasama dengan penyelidik di UPM untuk menyumbang kepada pengetahuan dalam mengendalikan penyelidikan; menyelia pelajar dan menyelaras projek penyelidikan berimpak tinggi bersama pensyarah.

Katanya, hasil daripada penyelidikan berimpak tinggi bersama pensyarah yang terlibat akan dapat digunakan dalam melaksanakan aktiviti seperti wacana ilmiah, akademik, penerbitan dan perkongsian ilmu.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman pula berkata melalui hubungan kerjasama yang strategik bersama MBI, ia secara langsung membantu meningkatkan penjanaan kewangan dan endowmen universiti dalam tempoh jangka panjang.

“UPM sentiasa berusaha ke arah pembangunan dalam pelbagai bidang penyelidikan dan pembelajaran. Endowmen ini penting untuk menyediakan dana memajukan aktiviti akademik di UPM.

“Antaranya untuk penyediaan biasiswa berprestij, membiayai kos penyandang Kursi Profesor serta bagi melaksanakan aktiviti akademik berimpak tinggi melalui penyelidikan dan kolaborasi dengan institusi tersohor,” katanya.

Memorandum itu ditandatangani Prof. Dr. Mohd Roslan dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Norita Mohd Sidek. Ia disaksikan Dato’ Seri Amirudin.

MBI ditubuhkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor [Enakmen No: 3 1994] pada 21 September 1994. MBI Selangor berperanan sebagai badan korporat untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri serta mewakili Kerajaan Negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa pihak kerajaan negeri. MBI juga berperanan mempromosi dan mendokong usaha pembangunan Kerajaan Negeri Selangor di samping melunaskan kewajiban tanggungjawab sosial kepada masyarakat. - UPM

SXEZPAh~