| Universiti Putra Malaysia

UPM-MARDI meterai perjanjian selesai isu hak milik tanah mereka

Oleh Siti Hajar Zainal



PUTRAJAYA, 5 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MARDI telah menandatangani satu memorandum perjanjian pertukaran hak milik tanah warisan sejarah kedua-dua institusi jiran bagi melancarkan urusan pertukaran hak milik.

Memorandum persefahaman ini ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan bersama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman di sini. Upacara tersebut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Hashim Abdullah.

Di bawah perjanjian baru itu, tanah terlibat akan ditukar hak milik dan diselesaikan dalam tiga fasa. Fasa pertama melibatkan tanah seluas 273.960 ekar bagi UPM dan 252.7 ekar bagi MARDI.

Fasa kedua melibatkan tanah seluas 67.034 ekar bagi MARDI manakala bagi UPM seluas 49.146 ekar tanah.



Fasa terakhir pula melibatkan kedua-dua pihak menyelesaikan melalui kaedah penilaian bagi menentukan nilai pampasan di atas lebihan tanah seluas 17.888 ekar.

Prof Datuk Dr. Mohd Fauzi dalam ucapannya berkata berikutan Memorandum Persetujuan 1972 dan 2001 antara UPM dan MARDI, kedua-dua pihak bersetuju memberi kuasa bagi menduduki serta mengutip apa-apa hasil, sewaan dan keuntungan daripada penggunaan tanah terlibat sementara menunggu penyelesaian pertukaran hak milik.

“Bangunan Pentadbiran MARDI pada masa ini terletak atas tanah UPM dan Bukit Ekspo dan Pejabat Ladang UPM yang kini menjadi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), MTDC dan kawasan sekitarnya pula adalah merupakan tanah MARDI,” ujar beliau.

Pembinaan lebuhraya SKVE, Hospital Serdang, kawasan Wetland dan laluan ERL yang merentas kampus UPM dan kawasan MARDI telah berubah keluasan asal tanah-tanah yang terlibat dalam memorandum sebelum ini.

“Perjanjian hari ini adalah penyelesaian muktamad dalam urusan persempadanan tanah UPM-MARDI,” katanya.

Prof  Datuk Dr Mohd Fauzi  juga  berkata nilai hartanah kawasan sekitar ini boleh diibaratkan ‘emas’.  Sebahagian tanah ini boleh dimajukan bagi menjana pendapatan dan mengurangkan kebergantungan sumber kewangan kerajaan selaras dengan autonomi  yang lebih luas.

“Pertukaran tanah antara UPM dan MARDI bukanlah satu perkara yang mudah kerana lot tanah yang terlibat perlu diukur semula dan dipecahkan menjadi lot yang berasingan agar tidak mendatangkan kerugian kepada kedua-dua belah pihak,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Dr. Abdul Shukor dalam ucapannya berkata walaupun kedua-dua pihak tidak dapat menyelesaikan hak milik tanah di pejabat tanah secara serentak, MARDI dan UPM bersetuju menukar tanah secara berfasa atas semangat kejiranan dan persahabatan.

“Fasa pertama telah dilakukan dalam memorandum perjanjian yang ditandatangani pada 8 Ogos 1972 dan fasa seterusnya ialah pada memorandum perjanjian yang termeterai pada 2001 bagi menyelesaikan persempadanan tanah yang tertangguh.

“Isu persempadanan tanah yang tertangguh ini telah dilakukan dengan mengambil langkah membina jalan sempadan yang dikenali Persiaran MARDI-UPM dan pengukuran semula tanah bagi menimbang semula pertukaran tanah ekar ke ekar setelah diambil oleh SKVE dan ERL,” katanya.  

 

-- UPM/SHZ/KGO/KAM/DEL


WXEUSAS~