| Universiti Putra Malaysia

UPM Lancar Putra Voucher, beri bantuan Komputer Riba dan Bantuan Data kepada pelajar B40

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Sabri Omar 

SERDANG, 9 Oktober – Universiti Putra Malaysia (UPM), melancarkan Putra Voucher, serta memberikan Bantuan Komputer Riba dan Bantuan Data kepada pelajar B40 pada Majlis Bersama Naib Canselor dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sesi 2022/2023.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, inisiatif ini adalah bagi membantu para pelajar B40 untuk dapat meneruskan pengajian serta kelangsungan hidup semasa di kampus.

“Bantuan ini saya berharap sedikit sebanyak akan menjadi pemangkin semangat para pelajar baharu untuk berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh dan dimanfaatkan semasa pengajian di kampus untuk berjaya di masa depan,” katanya.

Putra Voucher adalah konsep bantuan pembelian makanan dengan menggunakan aplikasi di telefon di kafe dalam kampus UPM kepada pelajar kalangan B40 pelbagai tahun pengajian.

UPM turut menyumbangkan 100 unit komputer riba kepada 100 pelajar B40 bernilai RM300,000.00 hasil sumbangan staf UPM menerusi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM.

Selain itu, Bantuan Data kepada Pelajar B40 UPM bernilai RM500,000.00 kepada 600 pelajar hasil inisiatif Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), UPM berjumlah RM300,000.00 dan inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM bernilai RM200,000.00 .

Sementara itu, seramai 3,553 pelajar baharu program Bacelor mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2022/2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari ini terdiri daripada 1,116 pelajar lelaki dan 2,437 pelajar wanita.  - UPM

WXEaFAU~