| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar Modul Pembangunan Pelajar Holistik bantu bentuk sahsiah pelajar

Oleh Mohd Syarif Ahmad Jopri
Foto oleh Mohammad Izrul Abdul Jabar



SERDANG, 1 April – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Modul Pembangunan Pelajar Holistik yang pertama bagi membantu membentuk sahsiah pelajar masa kini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UPM Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata modul tersebut adalah cetusan idea bersama pengetua dan pengurusan kolej-kolej kediaman UPM.

“Terdapat empat modul yang dibangunkan iaitu pembangunan akademik dan sahsiah; kepimpinan mahasiswa; community policing dan jati diri yang kini diaplikasikan secara berperingkat di UPM.

 



“Modul ini berstruktur serta penggunaan modul itu boleh diaplikasikan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai garis panduan dalam memperkukuhkan jati diri pelajar universiti ke arah kecemerlangan,” katanya.

Beliau berkata, modul ini adalah selaras dengan penggunaan semasa serta dilaksanakan secara praktikal untuk pelajar memahami dan menghayati pembangunan holistik serta kepentingannya kepada kerjaya masa depan.

Community Policing merupakan pendekatan baharu diperkenalkan di sekitar kolej kediaman UPM melibatkan kerjasama  pengurusan kolej kediaman UPM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Bahagian Keselamatan UPM bagi menjaga aspek keselamatan dan keharmonian dalam kolej kediaman UPM,” katanya.

Modul pembangunan akademik dan sahsiah pelajar pula, berfokus kepada membantu pelajar terutamanya barisan pemimpin pelajar mencapai prestasi akademik yang cemerlang serta membentuk mahasiswa yang mempunyai sahsiah yang baik terutamanya semasa menjalankan tugas sebagai pemimpin pelajar.



Sementara itu modul kepimpinan mahasiswa pula adalah panduan komprehensif bagi memperkasa kepimpinan dan keterampilan dengan membekalkan ilmu pengetahuan serta kemahiran untuk survival hidup dan perubahan mendasar untuk dikuasai oleh para pelajar.

Modul jati diri pula memberikan panduan komprehensif ke arah pemantapan jati diri dan nilai patriotisme pelajar bertujuan melahirkan graduan yang mempunyai semangat kenegaraan dan kreatif selaras dengan misi Kementerian Pendidikan untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti bagi membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.

“Setiap modul mempunyai ciri-ciri yang tersendiri untuk melahirkan pelajar acuan yang sama iaitu cemerlang dari segi akademik dan akhlaknya. Kita mahu setiap pelajar bersedia dan dibekalkan ilmu pengetahuan serta kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan,” kata Prof. Dato’ Mohammad Shatar.



Beliau berkata penghasilan modul itu akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat kearah melahirkan graduan yang cemerlang keseluruhannya berteraskan tiga hasrat utama iaitu holistic, entrepreneurial dan balanced graduates.

Sementara itu, majlis pelancaran Modul Pembangunan Pelajar Holistik telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan disaksikan oleh pengetua dan pengurusan kolej kediaman, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) kolej-kolej kediaman di Dewan Harmoni, Kolej Ke-lima UPM pada 4 Mac lalu. – UPM

 


WXDTQAW~