| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar buku Sustainability of Bio-Jetfuel in Malaysia


Oleh Bello Samira Muhammad
Foto oleh Noorazreen Awang

SERDANG, 20 Okt
Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan buku “Sustainability of bio-Jetfuel in Malaysia” baru-baru ini.

Projek itu dipengerusikan bersama oleh Pengarah INTROP, Prof. Dr. Paridah Md Tahir dan Dr.  J. M. Roda dari Pusat Penyelidikan Pertanian bagi Pembangunan Antarabangsa (CIRAD).

Tempoh kerjasama projek penyelidikan itu adalah tiga tahun, bermula Mac 2014 hingga Februari  2017.

Dr Paridah berkata projek itu dijangka akan menyumbang kepada penyelesaian inovatif dan lestari dalam sektor penerbangan untuk jangka panjang.

Projek penyelidikan ini bertujuan mencari bahan mentah paling sesuai bagi memastikan sebarang pengeluaran bahan bakar jet di Malaysia pada masa depan adalah berasaskan kepada penyelesaian lestari.



“UPM, CIRAD, AMIC dan AIRBUS mempunyai matlamat yang sama dalam mencari dan menghasilkan penyelesaian inovatif dan lestari, bertujuan mengurangkan kesan industri penerbangan terhadap alam sekitar melalui penggunaan sumber bahan bakar diperbaharui dan lestari.

“Dengan tempoh kerjasama kita ini dilanjutkan untuk tiga tahun lagi, kita berharap untuk meneruskan fasa berikut projek ini yang termasuk penukaran Biomass kepada bahan bakar, kelayakan dan persijilan, Pembangunan Perniagaan, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), serta inovasi,” katanya.

Usaha bersama dalam penyelidikan “Development of Path Way Models for Sustainable Biomass Conversion into bio-Jetfuels in Malaysia” ini dijalankan oleh CIRAD dan AMIC France (Aerospace Malaysia Innovation Centre) serta AIRBUS.



Sementara itu, buku yang baharu dilancarkan itu juga berupa laporan terhadap penilaian pertama berhubung hasil penemuan penyelidikan itu, dan lebih banyak lagi akan dilakukan pada masa depan.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo berkata UPM dan CIRAD berkongsi visi yang sama mengenai peranan hutan tropika dan sub-tropika untuk kesejahteraan orang ramai dan masyarakat serta bagi matlamat alam sekitar tempatan dan global.

“Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan aktiviti penyelidikan bersama pada 8 September 2011. Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa kerjasama itu dilanjutkan selama tiga tahun lagi.”

Beliau berkata dengan jumlah 16 fakulti dan 9 institut penyelidikan, UPM mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menjalankan projek-projek penyelidikan pelbagai disiplin.

“Kita sudah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membentuk kerjasama bagi menilai penyelesaian tempatan untuk pengeluaran bio-mass lestari di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Ia bertujuan untuk mengenal pasti bahan mentah paling sesuai bagi memastikan sebarang pengeluaran bahan bakar pada masa akan datang di rantau ini adalah berasaskan kepada penyelesaian lestari,” katanya. – UPM


WXETJA4~