UPM Juara Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2013 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM juara Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2013

UPM juara Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2013

Oleh Adidi Tamin



KUCHING, 30 Mac (UPM) – Satu lagi kejayaan manis buat Penggiat Seni PUTRA Universiti Putra Malaysia  (UPM) apabila dinobatkan Juara Keseluruhan Aktiviti Kesenian dan Kebudayaan seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) baru-baru ini.

Mereka dihadiahkan Anugerah Gong Kencana Emas pada Majlis Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2013 yang berlangsung di Pullman Kuching di sini pada 30 Mac lepas.

Anugerah Gong Kencana Emas ini diberikan kepada IPTA yang menduduki tempat pertama berdasarkan kepada pencapaian yang cemerlang dalam pertandingan-pertandingan dan festival-festival yang dianjurkan di peringkat MAKUM sepanjang tahun 2011-2012.

Kejayaan yang diperolehi ini adalah hasil titik peluh dan pengorbanan serta komitmen yang tinggi yang telah diberikan oleh semua pelajar Penggiat Seni PUTRA, kata Encik Sharudin Sahrani, Ketua Unit Innovasi dan Kreatif, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM.

Katanya, tanpa kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi serta sokongan padu daripada semua yang terlibat, pencapaian seperti ini sukar untuk direalisasikan.   

 



Berkat dorongan dan peluang yang sentiasa diberikan oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Bin Hj. Ramlan yang pada ketika itu sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPM dalam meningkatkan kemahiran insaniah khusus dalam bidang kebudayaan dan kesenian tidak disia-siakan. 

Pada majlis yang gilang gemilang tersebut, UPM juga turut mencalonkan dua orang pelajar yang aktif dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan antaranya Anugerah Bonang Emas Lelaki (Mohd Fakhri Hanif Dimyati – Fakulti Pertanian) dan Anugerah Bonang Emas Wanita (Fatin Hazwani Abd. Razak – Fakulti Sains). 

Tidak ketinggalan juga UPM telah mencalonkan Penggiat Seni PUTRA bagi Anugerah Gambang Mustika iaitu anugerah untuk kumpulan/badan/kelab kebudayaan dan kesenian yang paling menonjol dalam aktiviti MAKUM sepanjang tahun 2011-2012.

Kejayaan besar UPM pada malam tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Seksyen Pembangunan Pelajar, BHEP Encik Dahlan Ismail Abu Bakar yang juga penerima Anugerah Kenong Budi (Utama) pada malam tersebut. 

Selain daripada itu, dua orang Pegawai MAKUM dari UPM Encik Sharudin Sahrani dan Encik Adidi Tamin telah menerima Anugerah Gendang Sari (Utama) sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama yang tinggi dalam penganjuran aktiviti MAKUM sepanjang tahun 2011-2012.

Majlis yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selaku Sekretariat MAKUM 2011-2012 adalah majlis dwi tahunan yang diadakan khusus bagi menghargai komitmen semua Pegawai MAKUM dan penggiat seni IPTA dalam menjulang martabat kesenian dan kebudayaan serta memelihara warisan budaya Malaysia agar terus kekal.

Majlis ini diakhiri dengan penyerahan Sekretariat MAKUM yang baru bagi tahun 2013-2014 iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

– UPM/Ad/kgo/kam


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568674914