| Universiti Putra Malaysia

UPM jalin kerjasama penyelidikan mikroorganisma dengan WDCM China

Oleh Noor Eszereen Juferi



SERDANG, 16 Dis (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan WFCC-MIRCEN World Data Centre for Microorganisms (WDCM), China menjalin kerjasama penyelidikan mikroorganisma untuk meningkat peranan UPM sebagai sebuah entiti koleksi kultur mikrob di dalam dan di luar negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar berkata kerjasama itu akan menjadikan agenda pemuliharaan biodiversiti mikroorganisma sebagai agenda penyelidikan utama negara.

“Ini adalah ke arah membina jaringan koleksi Kultur Peringkat Kebangsaan di Malaysia serta akan lebih dikenali di kalangan komuniti saintifik di dalam dan luar negara sebagai sebuah entiti koleksi kultur mikrob,” katanya di sini hari ini.

Beliau telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu pada Majlis Perasmian Management of Microbial Culture Collection Seminar dan Workshop 2013 di sini pada 30 September lepas.

 



Pengarah WDCM, Dr. Juncai Ma, telah menandatangani persefahaman itu bagi pihaknya yang disaksikan oleh Presiden World Federation of Culture Collection (WFCC), Dr. Philippe Desmeth.

Badan yang bertanggungjawab untuk menjalankan MoU itu ialah Unit Koleksi Kultur Mikrob (UNiCC), Institut Biosains UPM, yang telah ditubuhkan pada tahun 2008  untuk menjadi koleksi kultur utama yang menyokong bidang penyelidikan serta pengajaran dengan memberikan tumpuan kepada mikroorganisma dari sumber makanan, pertanian dan alam sekitar.

UNiCC bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penyelidik dari UPM malah dari universiti luar serta institusi penyelidikan yang lain di Malaysia.

Pada masa kini, UNiCC memperkembangkan perkhidmatannya dengan menawarkan perkhidmatan lain seperti antimicrobial assay dan juga membantu menyimpan mikroorganisma rekombinaan hasil dari penyelidikan di UPM.



Sebelum itu, WDCM telah menjemput UNiCC pada tahun 2012 sebagai entiti koleksi kultur pertama di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam projek World Federation of Culture Collection’s Global Catalogue of Microorganisms (GCM) dan kerjasama ini telah dimeterai dengan MoU itu.

“Dengan kerjasama ini, UNiCC akan menjadi lebih dikenali di kalangan komuniti saintifik di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa sebagai sebuah entiti koleksi kultur mikrob.

“UNiCC juga diharap dapat menerajui pembentukan jaringan ini, dengan menjadikan agenda pemulihan biodiversiti mikroorganisma sebagai salah satu agenda penyelidikan utama negara,” kata UNiCC dalam satu kenyataan. – UPM

 


SXDdWAV~