UPM Jadi Peneraju Usaha Perangi Penyakit Berjangkit Dan Wabak | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM jadi peneraju usaha perangi penyakit berjangkit dan wabak

UPM jadi peneraju usaha perangi penyakit berjangkit dan wabak

Oleh Nurul Syuhadah bt Mohamad Ali
Foto by Noor Azreen Awang



SERDANG, 12 Feb (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) kini memainkan peranan sebagai pusat penyelasaran negara (NCO)  untuk One Health University Network (MyOHUN) bagi universiti di Malaysia dan di rantau ini dalam usaha memerangi penyakit berjangkit dan wabak.

Rangkaian tersebut dan peranan utama UPM dalam NCO itu dilancarkan Naib Canselor UPM Prof Dato’ Dr Mohd Fauzi Hj Ramlan di sini pada 7 Feb, 2014.

Penubuhan NCO bagi MyOHUN di UPM menjadi kenyataan melalui perjanjian kerjasama yang dimeterai antara UPM dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika  (DAI), Program Ancaman Wabak Sedang Muncul dan RESPOND Project pada 23 Sept 2013,  kata Prof Dr Mohd Hair Bejo, pengerusi MhyOHUN dalam ucapan alu-aluannya.

Prof Dr Mohd Hair, yang juga Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, berkata jawatankuasa pengurusan UPM bersetuju dengan penyertaan mereka dalam South East Asia One Health University Network (SEAOHUN), yang dianggotai Malaysia (MyOHUN), Indonesia  (INOHUN), Thailand  (THOHUN) dan Vietnam (VOHUN), 10 universiti dan 14 fakulti.

Rangkaian itu turut dianggotai University of Minnesota dan Tuff University  dari Amerika.



Ketika ini, Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi anggota SEAOHUN,  bersama Fakulti Perubatan Veterinar UPM.

Universiti teras lain yang menganggotai SEAOHUN ialah Sekolah Kesihatan Umum Hanoi,  Universiti Perubatan Hanoi, Universiti Pertanian Hanoi, Universiti Chiang Mai, Universiti Mahidol, Institut Pertanian Bogor, Universitas Indonesia dan Universitas Gadjah Mada.

Prof Dr Mohd Hair berkata adalah menjadi wawasan SEAOHUN/MyOHUN untuk memupuk usaha pembinaan kemampuan lestari merentas disiplin sebagai respons kepada kemunculan dan kemunculan semula penyakit berjangkit dan zoonotic dengan empat objektif utama, iaitu:

* untuk memupuk dan memajukan pendekatan One Health dalam pengawalan penyakit berjangkit dan penyakit  zoonotic baru muncul dan yang muncul semula;

*  untuk meningkatkan kecekapan ahli professional One Health;

*  untuk membina asas bukti One Health melalui penyelidikan: dan

*  untuk melahirkan ahli professional terlatih bagi menjadi pemimpin One Health pada masa kini dan akan datang.



“One Health merupakan usaha integratif melibatkan pelbagai disiplin dan merentas disiplin di peringkat setempat, negara dan global untuk mencapai kesihatan optimum bagi manusia, haiwan dan alam sekitar,” katanya.

Sambil menegaskan bahawa 75 peratus penyakit sedang muncul dan yang muncul semula adalah sama ada penyakit, zoonotik atau bawaan vector, beliau berkata penularan H1N1 (Selesema Babi), sindrom pernafasan akut teruk (SARS), H5N1 (Selesema Berkemudaratan Tinggi) dan Virus Nipah, telah menimbulkan kesedaran “bahawa kita tidak bersedia untuk menghadapi penyakit pandemik yang akan muncul,” katanya.

Prof Dr Mohd Hair juga berkata MyOHUN terlebih dahulu perlu membina kemampuannya untuk memberi perkhidmatan yang diharapkan.



Dalam hubungan ini, mereka mempelawa fakulti dari seluruh Malaysia, agensi kerajaan dan sektor swasta menjadi sebahagian daripada rangkaian berkenaan agar mereka boleh bekerjasama dan membebaskan diri daripada perlu bergantung dengan mana-mana pihak serta mampu berdikari dalam melaksanakan inisiatif One Health masing-masing.

Setakat ini, mereka berjaya memperoleh US$197,403 daripada DAI-USAID-RESPONSE dan US$32,903 perkongsian kos daripada UPM, US$372,000 daripada DAI-USAID-RESPONSE bagi melaksanakan lapan aktiviti tempatan MyOHUN untuk tahun 2013-2014.

Anggota SEAOHUN juga mendapat geran perjalanan untuk menghadiri seminar dan sebagainya.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya, Prof Dato’ Dr Fauzi berkata beliau yakin MyOHUN akan menghasilkan potensi serta kerjasama berjaya dengan semua pihak yang berkenaan.

Antara objektif Pelan Strategik 2014-2020 UPM ialah untuk mengukuhkan industri khidmat rangkaian dengan sektor korporat, masyarakat dan kerajaan.

“Kami percaya, melalui kerjasama ini, kami boleh berkongsi kepakaran, pengalaman, kejayaan dan teknologi untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan semua anggota masyarakat di negara ini, katanya. – UPM

- nsma/sp/kgo


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566078267