| Universiti Putra Malaysia

UPM hasilkan Milagro Matado kawal serangga perosak di kawasan pertanian

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang
 
 
SERDANG, 22 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan racun serangga perosak tanaman secara organik yang dikenali sebagai Milagro Matado sebagai bahan alternatif penggunaan racun perosak kimia di kawasan pertanian.
 
Milagro Matado merupakan formulasi ekstrak tumbuhan daripada biji semambu dan daun kaduk yang dapat memberi kesan sangat efektif terhadap serangan perosak tanaman.
 
 
Ketua kumpulan penyelidik itu, Ts. Dr. Norhayu Asib dari Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian UPM, berkata kesan formulasi racun perosak organik adalah tidak berbahaya kepada manusia dan tidak mencemarkan alam sekitar.
 
“Keberkesanan formulasi ekstrak gabungan telah diuji di kawasan tanaman padi, cili, terung dan sayuran berdaun serta terbukti formulasi ini tidak berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.
 
 
“Campuran emulsi ektrak tumbuhan tersebut bersama air yang disembur ke tanaman dapat membantu mengawal serangga perosak dengan sangat efektif serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada tanaman serta petani dan pengguna,” katanya.
 
Produk ini telah dipasarkan menerusi kerjasama UPM bersama Syarikat Haji Mat Haji Jantan.
 
Hasil inovasi produk ini juga telah berjaya meraih pingat emas dalam International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2022 dan Persidangan Dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa Tahun 2022.
 
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Nazamid Saari dan Pengarah Putra Science Park (PSP), Prof. Ir. Dr. Kamarul Arifin Ahmad -UPM

WXDdVA0~